-->

Lelaki gelandangan melecur teruk dibakar lelaki mabuk, semasa sedang tidur

Seorang gelandangan warga emas mengalami luka melecur angkara perbuatan khianat individu yang tidak bertanggungjawab, selepas tilamnya dibakar. Kejadian itu berlaku di Taman Kampian, Sungai Petani, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kes itu berlaku pada jam 9.30 malam, Khamis.

Semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, seorang penunggang motosikal datang ke lokasi dan berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang, dipercayai mabuk.

Suspek berjalan menuju ke arah lelaki gelandangan itu sebelum membakar tilam dan kaki lima bangunan itu, lalu segera melarikan diri dengan motosikalnya.

Akibat dari kebakaran itu, mangsa berusia 62 tahun melecur di bahagian kaki dan punggung. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan.
Kebakaran itu turut menyebabkan dua premis berdekatan mengalami kemusnahan 25 peratus dan kerugian kira-kira RM10,000.

Pihak Bomba dan Penyelamat Sungai Petani datang ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kejadian. Dan sebelum membuat laporan polis pada jam 11.10 malam.

Berdasarkan keterangan daripada mangsa dan pemilik, mereka tidak mempunyai masalah atau berhutang dengan sesiapa. Mangsa juga merupakan gelandangan sudah terbiasa tidur di kawasan itu sejak dua tahun lalu selepas mengalami kemalangan.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 436 dan 324 Kanun Keseksaan. Polis kini sedang berusaha mengesan suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.

Sumber: Kosmo! Online (Nur Syazwana Mansor)

LihatTutupKomentar