-->

Enggan bercerai, Rahimah simbah air panas pada suaminya di Singapura, dipenjara 8 bulan

Seorang wanita warga Indonesia , Rahimah Nisva, 29, pada Selasa lalu (30 Mei 2023) dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana menyebabkan suaminya warga Malaysia berusia 24 tahun melecur dengan menuangkan air panas kerana mahu bercerai.

Wanita terbabit sanggup menempuh perjalanan dari Batam ke Singapura untuk menyamar sebelum menyerang suaminya di luar rumah yang menyebabkan mangsa mengalami luka melecur tahap dua.

Empat jam selepas serangan pada 23 Mac 2023 itu, Rahimah telah ditahan reman sejak itu.

Suspek semakin posesif

Menurut dokumen mahkamah, Rahimah dan suaminya telah berkahwin sejak 2019. Perkahwinan mereka didaftarkan di tempat tinggal wanita berkenaan, Batam. Hasil perhubungan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan yang lahir pada Januari 2023.

Bagaimanapun, hubungan pasangan berkenaan tidak begitu baik sejak Disember 2022 apabila mangsa mendapati Rahimah terlalu posesif (queen control).

Mangsa mahu bercerai, undang kemarahan suspek

Gambar Shin Min Daily News

19 Mac 2023, mangsa bertolak dari Singapura ke Batam untuk berjumpa dengan Rahimah dan ibu mentuanya. Mangsa mengatakan bahawa dia mahu bercerai dan hal itu membuatkan isterinya tidak berpuas hati.

Selepas mangsa pulang ke Singapura, Rahimah mengajak rakannya pergi ke Singapura dengan menaiki feri pada 22 Mac. Rakannya hanya mengikut kerana menyangka mereka pergi berjalan di negara jiran.

Suspek pergi ke Singapura

Mereka kemudian tiba di Singapore Cruise Centre pada jam 6 petang. Rahimah kemudian memberitahu rakannya bahawa dia perlu berjumpa dengan suaminya dahulu untuk mendapatkan beberapa dokumen.

Sampai di lokasi, Rahimah meminta rakannya menunggu di pusat penjaja berhampiran tempat tinggal suaminya. Dia kemudian menukar pakaian dengan memakai pakaian hitam, niqab dan tudung, lalu pergi ke rumah suaminya untuk membuat tinjauan sebelum kembali semula kepada rakannya dan bermalam di sebuah hotel.

Gambar Singapore Police Force

Pagi serangan

Kira-kira jam 6.30 pagi keesokan harinya, Rahimah mendaftar keluar dari hotel dan membawa termos berisi air panas. Rahimah memaklumkan kepada rakannya bahawa dia mahu pergi berjumpa dengan suaminya sebelum mereka pulang ke Batam.

Rahimah memakai pakaian penyamaran dan menunggu di luar rumah suaminya kira-kira jam 7.20 pagi untuk melakukan serangan hendap. 10 minit kemudian, mangsa keluar dari rumah dan duduk di atas kerusi untuk mengikat tali kasut.

Gambar Singapore Police Force

Di kesempatan itu, Rahimah berlari ke arahnya lalu menyimbah air panas ke belakang badan mangsa yang menyebabkan lelaki itu menjerit kesakitan dan segera menanggalkan bajunya. Rahimah segera melarikan diri dari tempat kejadian.

Kejadian itu disedari oleh keluarga mangsa yang segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Suspek ditahan

Selepas melakukan serangan itu, Rahimah bertemu dengan rakannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mereka kemudian kembali ke Batam dengan menaiki feri di Singapura pada jam 9.30 pagi.

Dalam perjalanan ke Batam, pihak berkuasa menahan feri tersebut untuk menangkap Rahimah.

Gambar Singapore Police Force
Gambar Singapore Police Force

Menurut dokumen mahkamah, mangsa pergi ke Hospital Besar Singapura untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengesahkan mangsa melecur tahap kedua dan kehilangan kulit daripada belakang leher sehingga ke bahagian atas punggungnya.

Mangsa diberi cuti sakit selama 16 hari dan perlu menghadiri temujanji di klinik pesakit luar untuk rawatan susulan.

Gambar Shin Min Daily News
Gambar Shin Min Daily News

Suspek didakwa sengaja & mencederakan suaminya

Pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara selama tujuh hingga sembilan bulan dengan alasan kesalahan itu disengajakan dan telah dirancang.

“Tertuduh dengan sengaja memakai pakaian tersebut untuk menyembunyikan identitinya dan bersembunyi di luar rumah mangsa sebelum melakukan serangan itu.

“Dia juga pernah berkunjung ke lokasi yang sama sehari sebelum kejadian bagi membiasakan diri dengan kawasan itu.”

Pihak pendakwaan menambah, Rahimah sengaja menetapkan masa serangannya ketika suaminya berada dalam keadaan terdedah iaitu membongkok sambil mengikat tali kasutnya. Sekali gus tidak dapat mengelak air panas yang disimbah padanya.

Rahimah juga cuba melarikan diri daripada Singapura selepas melakukan kesalahan itu, kata pihak pendakwaan.

Selepas dijatuhkan hukuman, Rahimah menangis di mahkamah dan merayu kepada hakim untuk membenarkan dia kembali kepada suami dan anak-anaknya secepat mungkin, sambil menambah bahawa dia masih menyusukan anak perempuannya.

Dia juga berkata dia malu dengan apa yang telah dilakukan. Ketika berada dalam tahanan reman, dia juga mendengar tangisan bayi perempuannya setiap malam.

Sumber: Mothership

The post Enggan bercerai, Rahimah simbah air panas pada suaminya di Singapura, dipenjara 8 bulan appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar