-->

‘Anak saya dilempang kerana tak nak masuk ke rumah kosong’ – Ibu dakwa anaknya yang dianiaya individu tidak dikenali

Seorang wanita mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun dilempang oleh individu yang tidak dikenali semasa bermain di luar rumah tanpa pengawasannya.

Menurut Syahera, dia pada ketika itu sedang sibuk memasak di dapur dan anak lelakinya pula bermain di luar rumah sebelum mendapati anaknya pulang dalam keadaan takut dengan kesan kecederaan di pipi.

“Salah saya sebab tak pantau anak bermain, sebab saya sedang memasak. Luluh hati saya sebagai seorang ibu apabila melihat anak berlari ketakutan sambil memegang pipi, menangis menjerit-jerit memanggil mama,” katanya.

Didatangi individu tak dikenali

Terkejut melihat keadaan anaknya, Syahera menggesa anaknya untuk menceritakan apa yang telah berlaku.

Kanak-kanak itu menjelaskan, semasa bermain dia didatangi seorang lelaki yang tidak diketahui lingkungan usianya, untuk bermain bersama.

“Orang itu ajak anak saya pergi ke blok sebelah, M09. Saya tinggal di M10. Orang itu beritahu anak saya yang dia ada mainan lalu mengajaknya mengambil mainan itu di lokasi tersebut.

“Jadi anak saya pun ikutlah orang itu. Sampai di M09 itu ada tangga dan rumah kosong. Dia suruh anak saya naik ke tingkat atas untuk mengambil mainan dalam rumah kosong itu.

Dipaksa masuk rumah kosong

“Anak saya cakap tak nak, tetapi dipaksa juga untuk masuk ke dalam rumah kosong itu. Jadi anak saya pun menangis cakap tak nak, nak balik, nak mama.

“Mungkin disebabkan orang itu marah dengan anak saya yang tidak mahu menuruti arahannya, dia lempang muka anak saya sampai macam ini sekali sebelum cabut lari.

“Apa salah anak saya dilempang sebegitu rupa? Saya dah cuba cari dan jalan-jalan di sekitar blok M09 itu tetapi gagal menemui orang tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, Syahera bersyukur anaknya selamat daripada sebarang kejadian yang tidak diingini walaupun cedera di bahagian pipi. Disebabkan kejadian itu juga, Syahera tidak membenarkan anaknya bermain di luar rumah tanpa pengawasan dia dan suaminya.

Anaknya masih berada dalam keadaan trauma disebabkan insiden tersebut. Syahera berharap golongan ibu bapa di luar sana berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada kejadian yang menimpa anaknya.

Sumber: Instagram Iesya Toh

The post ‘Anak saya dilempang kerana tak nak masuk ke rumah kosong’ – Ibu dakwa anaknya yang dianiaya individu tidak dikenali appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar