-->

Taska terbabit kes dera 2 bayi di Mutiara Rini sah tiada lesen beroperasi, ditutup serta-merta

Pemeriksaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada premis taska yang terbabit dengan kes dera dua anak asuhannya di Skudai baru-baru ini mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen dan telah ditutup serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @Md On berkata, dua lagi cawangan taska itu di Jalan Abd Samad dan Gelang Patah turut diarahkan tutup.

Difahamkan, Khairin-Nisa telah bertemu dengan pengusaha taska berkenaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kejadian yang menimpa dua bayi terbabit.

Pemeriksaan mendapati, taska berkenaan belum mendapatkan lesen daripada JKM kerana belum mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan bomba. Ketiadaan kebenaran daripada tiga pihak tersebut menyebabkan JKM tidak boleh mengeluarkan lesen kepada pengusaha taska.

JKM sebelum ini juga telah menasihatkan pengusaha untuk tidak beroperasi tanpa lesen, tetapi pengusahanya berdegil dan meneruskan operasi.

Jelas Khairin-Nisa, pengusaha taska berkenaan dipercayai telah membuat permohonan lesen pada awal tahun 2023 dan beroperasi secara haram selama tiga hingga empat bulan ini.

Golongan ibu bapa dan penjaga dinasihatkan membuat semakan latar belakang sesebuah taska sama ada mereka mempunyai lesen atau tidak, sebelum mengambil keputusan menghantar anak-anak ke pusat penjagaan itu.

Terdahulu tular di media sosial seorang pengasuh mengasari dua bayi lelaki dan perempuan berusia bawah setahun yang enggan tidur dan berhenti menangis. Suspek kini telah direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Ibu kepada salah seorang mangsa juga mendakwa pihak taska terbabit mahu menyelesaikan masalah itu tanpa membabitkan pihak berkuasa. Namun, ibu mangsa enggan berbuat demikian.

Sumber: Harian Metro

The post Taska terbabit kes dera 2 bayi di Mutiara Rini sah tiada lesen beroperasi, ditutup serta-merta appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar