-->

‘Sepanjang minggu doktor desak untuk discaj suami biarpun masih dalam keadaan koma’ – Isteri pesakit

Tular di media sosial luahan kekesalan seorang wanita berhubung tindakan pihak Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) yang mengarahkan suaminya discaj biarpun masih berada dalam keadaan koma serta belum stabil sepenuhnya.

Menurut Afifa Ramli, suaminya koma sejak 30 hari yang lalu dan doktor pakar pula mendesak suaminya dibawa keluar (discaj) atas alasan sudah stabil dan tidak lagi memerlukan rawatan. Selain itu, pihaknya memerlukan katil kosong.

“Hari ini (Selasa 22 Mei 2023), genap 30 hari suami koma. Dalam 30 hari ini, macam-macam yang aku dan keluarga lalui. Aku ditekan dari segi emosi oleh beberapa pihak.

“Minggu lepas, sepanjang minggu doktor mendesak untuk discaj suami dengan alasan dia sudah stabil dan tidak lagi memerlukan rawatan pakar. Setiap hari keluarga disesak untuk sediakan peralatan untuk membawa pulang suami yang masih berada dalam koma.

Suami diserang sawan dalam ambulans

“Khamis minggu lalu suami baru boleh bernafas sendiri dan doktor sekali lagi mendesak untuk discaj suami dan kali ini dengan alasan wad perlukan katil kosong. Sedangkan masa itu banyak katil yang kosong sampai ke waktu ini.

“Tapi aku dan abang kepada suami meminta tempoh lanjutan kerana kami tahu suami masih belum stabil. Doktor tersebut kata dia hanya boleh beri suami tinggal satu malam saja lagi.

“Hari Jumaat kami terpaksa menyewa ambulans untuk membawa suami pulang ke kampung. Semasa dalam ambulans dan hanya tinggal beberapa kilometer lagi nak sampai ke rumah, suami diserang sawan dalam ambulans.

“Sampai di rumah, aku terus call talian 999 untuk mendapatkan bantuan ambulans kerajaan sebab ambulans swasta yang disewa tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi.

“20 minit kemudian ambulans sampai dan terus bawa suami ke red zone Hospital Jelebu. Keadaan suami pada ketika itu kritikal dan bila-bila masa jantung dia boleh berhenti. Dua kali doktor minta untuk intubatekan suami tetapi risikonya jantung berhenti untuk selama-lamanya.

“Dengan izin Allah, keadaan suami bertambah baik dari sebelumnya tetapi masih diserang sawan. Doktor kata suami demam dan macam mana seorang doktor boleh discaj pesakit yang masih belum stabil, masih ada kuman di dalam darah dengan begitu mudah,” katanya.

Afifa turut mempersoalkan layanan daripada pihak HTJS yang disifatkan sebagai tidak adil.

“Aku ada anak kecil, anak aku baru berusia 4 bulan dan menyusu badan, tapi aku dilayan sebegini rupa ibarat pengemis.

“Pagi tadi nurse beritahu keadaan suami tidak sama seperti sebelum ini di mana dia kurang memberi respon. Siapa yang nak bertanggungjawab?” katanya.

Pengarah HTJS arah siasatan dijalankan

Sementara itu, Pengarah HTJS, Datuk Dr Zaleha Md Noor, mengambil maklum mengenai perkara itu dan akan menjalankan siasatan dan berjumpa dengan Afifa Ramli untuk mendapatkan gambar sebenar mengenai kejadian itu.

“Pihak HTJS memandang serius isu ini dan satu pertemuan dengan pengaduh akan diadakan bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci serta membincangkan mengenai aduan yang tular ini.

“Kami memohon mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap pihak yang terbabit sepanjang proses siasatan ini dijalankan,” katanya.

Sumber: Afifa Ramli, Harian Metro

The post ‘Sepanjang minggu doktor desak untuk discaj suami biarpun masih dalam keadaan koma’ – Isteri pesakit appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar