-->

Pengasuh taska mengaku bersalah atas pertuduhan kasari 2 bayi asuhannya

Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan melakukan kecuaian sehingga menyebabkan dua bayi yang diasuhnya mengalami kecederaan fizikal, Mac lalu.

Tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang diberikan amanah untuk menjaga seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, didakwa cuai ketika menjaga mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Tertuduh melakukan kecuaian tersebut semasa bertugas di tempat kerjanya di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini, pada jam 1 petang, Mac lalu.

Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 athun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Namun, peguam tertuduh, Syufri A Samad, memohon jumlah jaminan yang lebih rendah kerana anak guamnya memberi kerjasama ketika ditahan polis dan sepanjang siasatan kes dijalankan.

Selain itu, tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan suaminya pula hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Malah, tertuduh perlu menanggung ibu bapanya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Hakim membenar tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa dierahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes. Mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk fakta dan hukuman.

Sumber: Harian Metro

The post Pengasuh taska mengaku bersalah atas pertuduhan kasari 2 bayi asuhannya appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar