-->

Pelanggan nekad saman Starbucks sebab salah eja namanya pada bekas minuman

Seorang wanita sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah premis rangkaian kedai kopi antarabangsa kerana tersalah tulis namanya pada bekas minuman.

Bavitra Ramachandran berkata, kesilapan ejaan itu bagaikan tidak masuk akal kerana tiada manusia yang diberi nama ‘Babi’.

“Starbucks Malaysia I’m going to sue you! Takkan you Malay staff don’t know there is no human name started with babi?” tulisnya dalam hantaran di Facebook semalam.

Sejak dimuat naik pada jam 7 petang semalam, hantaran itu telah mendapat lebih daripada 4,000 reaksi dan 3,800 perkongsian di laman Facebook.

Menurut Bavitra, kejadian itu bukan kali pertama berlaku dan pada hari kejadian, suaminya sendiri telah mengeja namanya dengan jelas kepada kakitangan di kaunter Starbucks.

“Tak mungkin silap. Takkanlah kakitangannya yang berbangsa Melayu tak boleh fikir? Suami saya siap eja nama saya pada mereka, B A V I. Tapi mereka masih buat silap.

“Masa itu saya berada di tingkat atas dan ini bukan kali pertama berlaku,” jelasnya.

Bagaimanapun, ada netizen menjelaskan bahawa, kesilapan ejaan pada nama pelanggan itu adalah disengajakan bagi tujuan pemasaran.

“Apabila pelanggan menyedari nama mereka ditulis dengan ejaan yang salah, pelanggan akan memuat naik gambar kesilapan itu di media sosial. Secara tidak langsung, Starbucks telah mendapat pengiklanan di media sosial secara percuma,” kata netizen yang memetik dari YouTuber @myth.

Tidak diketahui sama ada Bavitra benar-benar serius untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Starbucks, namun di ruangan komen netizen mengakui mereka terhibur dengan perkongsian Bavitra.

The post Pelanggan nekad saman Starbucks sebab salah eja namanya pada bekas minuman appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar