-->

Lelaki bunuh & toreh perut teman wanita untuk keluarkan janin, takut kehamilan mangsa diketahui keluarga

Kepulan asap di tepi kebun berhampiran dengan kadang lembu membawa kepada penemuan mayat tanpa identiti di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, semalam.

Mayat mangsa yang terbakar 60 peratus itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 7 pagi semasa melalui kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi sebaik saja menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8.15 pagi.

Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pelayan restoran. Bertindak di atas maklumat itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang merupakan teman lelaki mangsa.

Berdasarkan keterangan suspek yang baru menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi, dia dan mangsa menjalinkan hubungan sejak setahun yang lalu.

Pada hari kejadian, suspek mengajak mangsa keluar bersama dengan menaiki kenderaan milik keluarganya, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Namun, berlaku perselisihan faham di antara mereka yang dipercayai berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa yang sudah berusia empat bulan.

Bimbang kehamilan luar nikah itu diketahui keluarga masing-masing, suspek bertindak memukul teman wanitanya sehingga pengsan sebelum ditoreh di bahagian perut menggunakan pisau, untuk mengeluarkan kandungan tersebut.

Mayat mangsa kemudian dibuang di kebun kelapa sawit dan dibakar menggunakan petrol yang dibeli daripada sebuah stesen minyak.

Pada keesokkan hari, suspek kembali semula ke lokasi dengan menaiki motosikal dan membawa tong berisi petrol, lalu disimbah pada mayat mangsa dan dibakar buat kali kedua bagi menghapuskan bukti.

Segala bahan bukti termasuk barangan milik mangsa juga telah dibuang di sekitar Jalan Lama, Kuala Selangor.

“Mangsa dipercayai hamil empat bulan. Lelaki itu memukul kekasihnya sehingga pengsan dan menoreh perut wanita itu menggunakan pisau disyaki untuk mengeluarkan kandungan.

“Suspek kemudian bertindak membakar mangsa dengan menggunakan petrol. Untuk kali kedua (semalam), suspek sekali lagi datang ke lokasi membakar mayat mangsa untuk melupuskan bukti,” katanya.

Keputusan ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif, malah suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai melakukan jenayah itu seorang diri.

Suspek akan direman selama enam hari sehingga 29 Mei ini untuk siasatan lanjut engikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro, Kosmo! Online

The post Lelaki bunuh & toreh perut teman wanita untuk keluarkan janin, takut kehamilan mangsa diketahui keluarga appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar