-->

Ibu dipenjara kerana tikam paha anaknya yang masuk ke bilik tanpa kebenaran

Seorang wanita sanggup menikam anak lelakinya berusia 11 tahun di bahagian paha kanan dengan menggunakan pisau kerana berang mangsa memasuki biliknya tanpa kebenaran.

Akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan terpaksa dimasukkan ke wad hospital selama 20 hari untuk menerima rawatan.

Ibunya berusia 41 tahun pula dijatuhkan hukuman penjara selama dua bulan pada Rabu lalu selepas tertuduh mengaku bersalah di atas perbuatan menyerang anaknya dengan senjata.

Timbalan Pendakwa Raya, Emily Koh berkata, tertuduh sebelum ini juga pernah menyerang individu lain dengan senjata pada 1999, namun butiran kes tidak didedahkan.

Tertuduh turut disahkan mengalami gangguan mental dan kemurungan pada tahap sederhana. Namun, Emily menegaskan keadaan itu bukanlah alasan untuk tertuduh tidak menyedari perbuatannya itu.

Mengikut fakta kes, jam 10 pagi 6 November 2021, di flat Punggol, mangsa masuk ke dalam bilik ibunya tanpa kebenaran untuk mengambil telefon bimbit gantian dan mula bermain dengan peranti itu.

Tidak berpuas hati, tertuduh mengambil pisau lalu menyerang mangsa yang sedang baring di atas katil sambil berselimut menutupi badannya.

“Tertuduh memasuki bilik itu dengan memegang pisau di tangan pada paras bahu, dengan mata pisau menghala ke bawah.

“Tertuduh menarik selimut dari badan mangsa dengan tangan kanannya dan pada masa sama dia menurunkan pisau itu dalam gerakan menikam lalu menembusi selimut sebelum terkena pada paha kaki kanan mangsa menyebabkan dia menjerit kesakitan.

Mangsa terus berlari ke bilik dan mengunci pintu sebelum menghubungi polis. Mangsa dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad sehingga 25 November 2021.

Timbalan Pendakwa Raya memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dua ke tiga bulan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan $15,000 dan diperintah untuk menyerah diri di mahkamah negeri pada 14 Jun untuk memulakan hukuman penjaranya.

Sumber: Asia One

The post Ibu dipenjara kerana tikam paha anaknya yang masuk ke bilik tanpa kebenaran appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar