-->

Haqiem Rusli dan Isteri mahu saman stesen minyak, tanggung kerugian RM50,000 akibat kecuaian pekerja



Penyanyi popular, Haqiem Rusli dan isteri, Anis Sofea melalui satu kenyataan di Instagram memaklumkan akan mengambil tindakan untuk menyaman sebuah stesen minyak di Terengganu selepas mendakwa pihak tersebut tidak mahu bertanggungjawab dan memberi kerjasama bagi membayar kos membaik pulih kereta jenis Mercedes Benz milik mereka.

Pada 17 Mac lalu, Haqiem menyatakan dia telah mengisi minyak di stesen tersebut namun selepas 100 kilometer (KM) perjalanan, kereta miliknya menunjukkan tanda amaran dan menyebabkan enjin kereta mati sehingga terpaksa ditunda ke bengkel berdaftar Mercedes Benz yang paling berdekatan.


Bagaimanapun, pada 19 Mac,  dia telah diberitahu bahawa kereta miliknya itu mengalami kerosakan teruk akibat terdapat air yang berlebihan dalam tangki minyak dan kos membaik pulih dianggarkan mencecah sehingga RM50,000.


“Pihak Asbenz Stern Sdn Bhd selaku authorized Mercedez Benz Dealer memaklumkan kepada saya bahawa kerosakan yang berlaku ke atas kereta saya adalah disebabkan oleh tangki minyak kereta terdapat air yang berlebihan daripada minyak dan kos membaik pulih kereta ini adalah sebanyak RM50,000,” katanya.


Dan pada 22 Mac yang lalu, Haqiem telah menghubungi stesen minyak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian, namun pihak stesen minyak memberi cadangan agar kereta miliknya dibaiki di bengkel tidak berstatus Authorized Mercedes Benz sekaligus gagal memberi kerjasama sehingga ke hari ini.


“Pihak stesen minyak Shell terbabit telah menghubungi saya dan meminta kebenaran untuk memindah kereta dan dibaiki di bengkel yang dicadangkan namun, bengkel tersebut tidak mempunyai status Authorized Mercedes Benz sedangkan kereta saya masih dalam waranti.



“Maka, saya tidak memberi kebenaran kepada mereka untuk menunda kereta saya yang berada di bengkel Asbenz untuk dipindahkan ke bengkel lain.


“Bermula dari situ, pihak mereka tidak lagi menjawab panggilan dan mesej dari saya sehinggalah dalam tempoh sebulan ini juga pihak Shell gagal memberikan kerjasama,” jelasnya.


Dia juga berharap agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha-pengusaha stesen minyak yang mengambil kesempatan.


Sumber: Instagram Haqiem Rusli



LihatTutupKomentar