-->

Ditegur segera selesaikan isu bayaran tertunggak, Awesome TV minta menteri jangan campur tangan

Beberapa hari lalu, pelakon veteran, Norlia Ghani, menuntut pihak Awesome TV melunaskan bayaran tertunggak sejak sebelum bulan Ramadhan.

Awesome TV bagaimanapun menuntut Norlia Ghani memohon maaf kepada pihaknya kerana mengeluarkan kenyataan yang telah menjejaskan imej dan reputasinya. Malahan, mereka menegaskan isu pembayaran tertunggak itu tiada kena mengena dengan pihaknya.

“Norlia Ghani dinasihatkan untuk meminta maaf kepada Awesome TV kerana telah memburukkan nama stesen secara tidak adil,” katanya.

Hal itu kemudian mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, yang menggesa Awesome TV menyelesaikan isu itu dengan segera secara berbincang.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan kompaun terhadap Awesome TV yang didapati menerbitkan kandungan berita yang melanggar undang-undang.

Walaubagaimanapun, Awesome TV tidak menyenangi kenyataan itu dan meminta Fahmi Fadzil tidak mencampuri dan mengganggu urusan dalaman pihaknya. Malahan, mereka turut meminta Fahmi membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai Awesome TV.

“Tidak wajar bagi menteri membuat apa-apa kenyataan mengenai stesen televisyen. Sebagai seorang menteri, Fahmi sewajarnya membuat kajian lanjut terutamanya dengan Awesome TV dan tidak melemparkan kata-kata yang memberi kesan negatif dan tidak adil kepada stesen TV ini,” katanya.

Awesome TV menegaskan pihaknya sangat berkomitmen memberi kandungan berkualiti tinggi dan memberi sumbangan yang signifikan kepada industri penyiaran.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

The post Ditegur segera selesaikan isu bayaran tertunggak, Awesome TV minta menteri jangan campur tangan appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar