-->

Aliff Syukri akui dirinya jenis manja, suka dipujuk & dibelai

Ahli perniagaan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan rumah tangganya pernah dilanda masalah dan hampir bercerai dengan isterinya, Datin Seri Nur Shahida hanya kerana disebabkan hubungan mereka menjadi dingin.

Usahawan berusia 36 tahun itu yang kerap mencetuskan kontroversi bagaimanapun bersyukur rumah tangga yang dibina sejak 16 tahun lalu masih dapat diselamatkan dan kini semakin bahagia.

Menerusi laporan mStar Online, Aliff berkata, keputusan untuk bercerai pada masa itu adalah disebabkan pergaduhan yang tercetus membuatkan dia dan isterinya tidak mempunyai persefahaman.

“Dalam melayari perkahwinan selama 16 tahun, saya rasa mungkin 10 tahun itu bergaduh dan enam tahun itu berbaik dan waktu itu barulah dapat merasai nikmat berkahwin.

“Dia (isteri) tidak memahami saya sebenarnya dan sebab itu keluarlah lagu cubalah mengerti perasaanku.

“Dia tidak memahami saya, karekter dia lebih kepada lelaki sikit dan saya pula macam perempuan sikit yang mana saya suka dibelai, suka dipujuk dan manja tetapi dia tidak.

“Dalam 16 tahun perkahwinan ini, mungkin beberapa tahun kebelakangan ini baru isteri melayani saya dengan lembut.

“Waktu bergaduh sampai satu tahap secara jujurnya, saya pun rasa macam nak berpisah dan dia pun rasa benda yang sama sebab waktu itu saya lebih fokus kepada kehidupan sendiri, perniagaan dan kurang berkawan dengan orang,” katanya.

Aliff berkahwin dengan Shahida sejak Ogos 2007 dikurnikan lima cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman.

Ahli perniagaan ini sering menjadi perhatian netizen kerana gemar mencetuskan kontroversi di media sosial bagi tujuan marketing walaupun telah dikecam netizen berkali-kali.

Sumber: mStar Online

The post Aliff Syukri akui dirinya jenis manja, suka dipujuk & dibelai appeared first on The Reporter.



LihatTutupKomentar