-->

(Video) Lelaki Pakistan belanja aksi 'wheelie' di Jalan Kota Tinggi-Kluang, ditahan polis



Padah melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal, seorang lelaki warga Pakistan ditahan polis. 


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, pihaknya mengesan video tular yang menunjukkan suspek berusia 22 tahun melakukan aksi 'wheelie' ketika menunggang motosikal di Jalan Kota Tinggi-Kluang. 


Siasatan awal mendapati, pemotong rumput terbabit tidak mempunyai lesen dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga telah tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans. 


"Satu kiriman video dari Facebook dikesan memaparkan seorang lelaki Pakistan menunggang sebuah motosikal jenis SYM VF31 melakukan aksi 'wheelie' dengan mengangkat tayar hadapan motosikal. 


"Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kluang telah melakukan risikan dan berjaya menahan suspek di hadapan sebuah kedai di Taman Majupadu jam 6.45 petang kelmarin," katanya. 



Ujian saringan air kencing terhadap suspek menunjukkan keputusan negatif. Suspek direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.


Polis turut merampas motosikal milik suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya. 


Sumber: Kosmo! Online



LihatTutupKomentar