-->

'Untuk Mydin je dah rugi RM500,000' - Boss Mydin kesal PMX umum cuti tambahan last minute



Semalam, Perdana Menteri telah mengumumkan berita baik yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia sempena menjelang musim perayaan. Antara pengumuman tersebut adalah mengenai cuti peristiwa. 


Sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat (21 April), maka Isnin berikutnya (24 April) ditetapkan sebagai cuti umum. Jika ia jatuh pada hari Sabtu (22 April), maka hari Jumaat (21 April) akan diisytiharkan sebagai cuti umum.


Pengumuman itu juga telah menimbulkan pelbagai persepsi banyak pihak. 


Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin dalam satu temu bual bersama Astro Awani berkata, pengumuman cuti khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di saat akhir telah menyebabkan banyak perniagaan menanggung kerugian. Beliau berkata susulan pengumuman Perdana Menteri pada Selasa, Mydin kerugian RM500,000, yang sepatutnya boleh disalurkan untuk pelaksanaan Menu Rahmah.


Ahli perniagaan itu menasihatkan kerajaan supaya tidak hanya mengambil keputusan populis dan sebaliknya memberi tumpuan kepada subsidi yang disasarkan untuk membantu rakyat.


"Siapa tak nak cuti, saya pun nak cuti juga kan. Tapi semua dah buat plan (rancangan) dah, memang ramai pun dah ambil cuti Jumaat.


"Tapi bila ada announcement (pengumuman) macam ini, untuk Mydin je kita dah rugi setengah juta," katanya.


Ameer mengulas cuti tambahan Aidilfitri yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.


Tambah Ameer lagi, jumlah kerugian perniagaan akibat pengumuman cuti tambahan boleh digunakan untuk kegunaan lain yang lebih baik, seperti menurunkan harga Menu Rahmah dan barangan lain. Tegasnya, ia lebih menguntungkan rakyat.


"Boleh anda bayangkan setengah juta tu, saya boleh bagi 500,000 Menu Rahmah turun dari RM5 jadi RM4 sepinggan. Ini akan memberi manfaat kepada 500,000 orang. Saya rasa kerajaan sebetulnya tidak boleh bersifat populis," katanya.


Ameer turut mengulas mengenai pengecualian tol di semua lebuh raya seluruh negara selama empat hari sepanjang tempoh Aidilfitri, yang diberikan kepada semua jenis kenderaan.


Menurut ahli perniagaan itu, walaupun ia menggembirakan ramai orang, tidak semua pelancong memerlukan subsidi seperti itu daripada kerajaan.


"Dia yang boleh bayar, saya boleh bayar, bagi lah saya bayar. Jadi saya fikir kita perlu ada subsidi bersasar. Model kita ni tak betul," katanya.


Sumber: Astro Awani, MalaysiaKini



LihatTutupKomentar