-->

Isteri bekas menteri disindir netizen selepas tuduh menteri tak ikut protokol majlis



Setiap kali tibanya Aidilfitri, Istana Negara juga tidak terkecuali menganjurkan rumah terbuka bagi meraikan dif-dif kehormat. 


Semalam berlangsungnya, Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Dewan Santapan Utama, Istana Negara,  bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 


Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang, antara lain, termasuk beberapa menteri kabinet, perwakilan asing, dan tokoh terkenal daripada komuniti perniagaan.


Namun begitu, Syawal yang indah diraikan, dicemari pula dengan kata-kata sinis di media sosial. 


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi sasaran oleh seorang isteri bekas menteri kabinet kerana membawa anak-anaknya ke majlis ramah mesra Aidilfitri di Istana Negara,  semalam.


Perkara itu dibangkitkan oleh Norlin Shamsul Bahri, isteri bekas menteri luar Saifuddin Abdullah yang kini adalah ahli politik Bersatu dan pernah berkhidmat bersama UMNO dan PKR menerusi komen di Instagram Nik Nazmi.


"Wah majlis rasmi bawa anak-beranak ke istana negara. Tak tahu protokol ke pak menteri?” tulis Norlin.




Menjawab sindiran itu, Nik Nazmi menulis bahawa dia sekadar memenuhi jemputan.


"Jemputan dari istana untuk bawa isteri, anak dan cucu. Tapi, saya tiada cucu, jadi bawa anak dan isteri," balasnya.


Ada di kalangan warga maya yang kemudiannya memaklumkan kepada Norlin bahawa gambar-gambar di laman Facebook Istana Negara menunjukkan terdapat juga ramai kanak-kanak lain pada majlis berkenaan.





Wartawan yang menerima jemputan tersebut juga mengesahkan bahawa anak-anak mereka turut dijemput.


Beberapa jam yang lalu, menerusi Facebook rasmi Istana Negara, dipaparkan beberapa keping gambar tetamu kenamaan.




“Majlis Sambutan dan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Istana Negara semalam amat istimewa kerana KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah turut berkenan mempersilakan tetamu kenamaan, termasuk anggota jemaah Menteri, untuk hadir bersama keluarga.


“Kehadiran ahli-ahli keluarga tetamu kenamaan telah memeriahkan lagi majlis tersebut. 


“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni dan beramah mesra bersama para tetamu kenamaan dan keluarga mereka,” tulis Istana Negara.


Sumber: MalaysiaKini, Facebook rasmi Istana Negara



LihatTutupKomentar