-->

Netizen mohon TV3 ulang siar telemovie Saat Hilang Cintamu, akui terkesan dengan lakonan Zamarul Hisham

Telemovie Saat Hilang Cintamu lakonan Zamarul Hisham dan Rita Nadira, slot Cerekarama, TV3


Telemovie 'Saat Hilang Cintamu' yang ditayangkan pada malam Sabtu lalu dalam slot Cerekarama di TV3 mengundang pelbagai reaksi penonton yang rata-rata mengakui terkesan dengan jalan ceritanya. 

Telemovie itu mengisahkan seorang lelaki bernama Razil (Zamarul Hisham) yang hanya bekerja kampung, berkahwin dengan Salinah (Rita Nadira) hidup dalam keadaan sederhana dan dikurniakan dua cahaya mata. 


Namun, perkahwinan mereka tidak begitu digemari oleh ibu Salinah yang kerap mengungkit dia mahu melihat anak perempuannya itu belajar di peringkat lebih tinggi dan seterusnya mendapat pekerjaan yang bagus agar dapat menikmati hidup mewah seperti orang lain. 


Saat Hilang Cintamu. Razil pulangkan sapu tangan Salinah selepas membantu membaiki basikalnya


Mendengar perbualan itu, Razil membenarkan isterinya bekerja dan dari saat itulah segalanya berubah apabila Salinah sudah mula pandai berbohong semenjak rapat dengan rakan sepejabatnya, Kamal. 

Bagaimanapun, hubungan Razil dan Salinah menjadi semakin berantakan apabila isterinya ditangkap basahkan dengan penasihat rumah tangga majikannya dan akhirnya Razil terpaksa menceraikan isterinya dengan dua syarat yang terpaling pedih untuk diterima dan mungkin tidak dapat diterima oleh mana-mana lelaki pun di dalam dunia ini. 


Pada malam telemovie itu ditayangkan, ramai penonton mengakui mereka menangis dan sedih dengan pengorbanan Razil yang sanggup menjaga bekas isterinya itu sehingga ke hujung nyawa. 


Saat Hilang Cintamu. Razil sanggup makan bersendirian di bawah untuk memberi ruang kepada isterinya bersama dengan rakan sekerja yang lain


Menurut Zamarul, karya terbitan Zeel Production di bawah arahan Rahila Ali itu adalah adaptasi daripada kisah benar.

"Cerita ini memang cerita benar. Orangnya masih ada dan sudah berusia 70 tahun lebih. Cuma abang frust sebab masa shooting tak dapat jumpa. Memang dia sangat setia orangnya," katanya. 


Menurut Zamarul lagi, sudah lama dirinya tidak terlibat dalam naskah seperti itu dan amat berterima kasih dengan peluang yang diberikan oleh pihak Zeel Production. 



Sementara itu, netizen memuji mutu lakonan Zamarul yang dikatakan masih hebat dan berjaya menjiwai watak Razil dengan begitu baik sekali. Sehingga ada netizen yang meminta pihak TV3 menyiarkan semula telemovie itu kerana tidak berkesempatan menontonnya. 


"Nak menitik air mata tengok cerita ini. Start bini dia curang tu, kami satu rumah dah naik angin. Marah dan geram semua ada. Last masa kantoi ya Allah, sumpah sedih gile cerita ini. Bravo barisan pelakon dan penerbit cerita ini. Sampai kami semua berfikir masih terjadi lagi ke kes seperti ini," kata Eisyah. 


"Masa tengok cerita ini tadi, teringat isu Aaron Aziz yang dikatakan sudah tua, tak laku. Nah kau! Abang Zamarul lagi lama dari Aaron, elok je aku tengok dia jadi hero. Bila senyum nampak lesung pipit dia tu, boleh jadi Tom Cruise wei! Handsome," kata Chik Kelip Kelip. 




Sumber: Instagram Zamarul Hisham

LihatTutupKomentar