-->

'Alhamdulillah, saya ikhlas bertudung kerana Allah' - Julia Farhana nekad berubah, mahu bersihkan hati & jaga pertuturan



Pelakon kacukan Melayu-Itali, Julia Farhana, 28, mengambil keputusan untuk bertudung dengan kerelaan hatinya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Dan sejak dari itu, Julia merasakan hatinya sungguh tenang dan berada lebih dekat dengan Allah SWT.

"Alhamdulillah, saya ikhlas bertudung kerana Allah. Pada mulanya, saya berniat untuk bertudung pada bulan Ramadan yang bakal tiba nanti, tetapi akhirnya saya putuskan untuk terus mengenakan tudung dari sekarang.

"Doakan saya untuk terus kekal istiqomah dengan penampilan baru ini," katanya memetik laporan daripada Harian Metro, Jumaat, 17 Mac 2023.

Keputusan Julia itu turut mendapat sokongan daripada suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 32, yang juga banyak memberi dorongan untuk terus berubah dan mendalami agama sejak sebelum mereka berkahwin lagi.

Julia berkata, suami banyak memberi bimbingan dari segi tanggungjawab sebagai wanita Islam dengan menutup aurat, menjaga solat lima waktu dan membaca al-Quran.

"Suamilah orang yang paling gembira bila melihat penghijrahan saya ini. Saya bersyukur kerana suami sangat memahami dan dia tidak pernah meletakkan syarat untuk bertudung bila sudah berkahwin. Semuanya berlaku secara berperingkat bermula dari pakaian," katanya.

Sejak membuat keputusan untuk bertudung, Julia telah memadamkan semua gambarnya yang tidak menutup aurat kerana dia enggan gambar-gambar itu membawanya kembali ke zaman silam.

Pelakon Filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang itu berkata, perubahan yang dilakukannya itu bukan hanya sekadar menutup aurat, tetapi dia juga mahu berubah dengan menjaga pertuturan, membersihkan hati, menjaga solat dan menjaga hubungan baik dengan orang di sekelilingnya.

Sumber: Harian Metro
LihatTutupKomentar