-->

(Video) Lelaki mabuk belasah pekerja restoran sebab bengang ditegur ambil lauk guna jari



Tular di media sosial video seorang lelaki bergaduh dengan pekerja sebuah restoran di Cyberjaya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu berlaku pada jam 7.30 petang Khamis, berpunca daripada tindakan pelanggan yang mengambil makanan menggunakan jari.

Siasatan awal mendapati, suspek bersama dua lagi rakannya datang ke restoran itu untuk makan. Suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol itu kemudian mengambil lauk di bahagian nasi kandar menggunakan jari.

Perbuatannya itu ditegur oleh pekerja restoran. Tidak dapat menerima teguran itu, suspek bertindak memukul mangsa. Salah seorang rakan suspek turut campur tangan memukul mangsa menggunakan penyepit makanan besi di bahagian kepala dan badan.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan tiga suspek terbabit yang berusia 50-an, pagi tadi. Semakan mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan salahguna dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324, Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian
LihatTutupKomentar