-->

'Saya nak lawat kubur bini saya' - Permintaan Lans Koperal yang didakwa bunuh isterinya hamil 5 bulan



Anggota polis berpangkat Lans Koperal, Mohamad Nizarman Hassim, 27, yang didakwa membunuh isterinya, Safsufarnisya Salleh, 26, pada 5 Mac lalu, meminta mahkamah membenarkannya melawat kubur isterinya.

"Saya nak cakap satu sahaja, saya nak melawat kubur bini saya," katanya ketika dibawa keluar dari kandang pesalah, Mahkamah Majistret Kangar.

Tertuduh hanya menjawab faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, di mana dia didakwa membunuh isterinya dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, kira-kira jam 6.45 pagi dan 8.50 pagi.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Nordin memohon mahkamah mempertimbangkan agar tertuduh menjalani penilaian mental selama sebulan dan mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

14 April depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes, bagi menunggu laporan penilaian mental tertuduh.

Dalam kejadian 5 Mac lalu, tertuduh didakwa menembak isterinya yang hamil 5 bulan dalam jarak dekat mengenai bahagian muka mangsa terutamanya di bahagian mata sebelah kiri yang menyebabkan mangsa maut serta-merta.

Sumber: Harian Metro
LihatTutupKomentar