-->

Panduan lengkap solat sunat terawih di rumah

Siapa sangka ramadhan tahun ini dijangkakan berbeza dari tahun-tahun sebelum. Kenapa tidak sebab saban tahun kita akan menunggu bulan Ramadhan untuk berpuasa dan mengerjakan ibadah solat sunat terawih. Namun tahun ini sedikit berbeza kerana kita kemungkinan akan mengerjakan ibadah solat terawih di rumah. Hal ini disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia dilanjutkan sehingga tarikh 28 April 2020 dan dijangkakan akan dilanjutkan lagi.

Kebiasaan kita akan mengerjakan ibadah solat sunat terawih di masjid atau surau dan jarang sekali kita mengerjakannya secara bersendirian ataupun berjemaah di rumah. Bagi pembaca yang tidak tahu bolehlah mengikuti panduan lengkap cara mengerjakan solat terawih di rumah secara bersendirian ataupun berjemaah ini.

Panduan lengkap solat sunat Terawih di rumah


KELEBIHAN & HUKUM SOLAT TERAWIH

Ada banyak kelebihan solat sunat terawih dan diantaranya disebutkan dalam hadis Nabi SAW:

“Barang siapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu”. – HR Muslim

Hukum solat sunat terawih adalah sunat Muakkad, iaitu yang sangat dituntut (dikerjakan) oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan.

Solat sunat terawih boleh dikerjakan sama ada secara berseorangan mahupun berjemaah di masjid, surau, atau di rumah.

Hukum solat sunat terawih bersendirian pula adalah seperti berikut:

Panduan lengkap solat terawih di rumah



WAKTU SOLAT SUNAT TERAWIH

Ditunaikan / dikerjakan selepas menunaikan solat Fardhu Isyak dan sunat ba'diah dua rakaat.


BILANGAN RAKAAT SOLAT SUNAT TERAWIH

Secara umumnya, masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat sunat terawih sebanyak 20 rakaat, namun ada juga yang mengerjakannya sekadar 8 rakaat sahaja.

Ianya tidak menjadi kesalahan kerana pada zaman Rasulullah SAW, solat sunat terawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan keberatan. Walau bagaimanapun, terdapat juga hadith yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mengerjakannya sebanyak 20 rakaat.


KEDUDUKAN SOLAT SECARA BERJEMAAH

Kedudukan solat secara berjemaah adalah seperti berikut:

Panduan lengkap solat sunat Terawih di rumah


TATACARA SOLAT SUNAT TERAWIH

Solat sunat terawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap satu kali takbiratul ihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki

1. Lafaz niat solat sunat terawih
  • Lafaz niat solat terawih secara bersendirian
“Sahaja aku solat sunat tarawih 2 rakaat kerana Allah Ta’ala.”
  • Lafaz niat solat terawih secara berjemaah (Niat menjadi Imam atau Makmun).
“Sahaja aku solat sunat tarawih 2 rakaat imam/makmum kerana Allah Ta’ala.” 


2. Rukun solat sunat terawih

Rukun solat sunat terawih ini samalah dengan rukun solat yang lain juga.

Ini bermaksud, selepas lafaz niat dan takbiratul ihram, kita perlu membaca al-Fatihah, surah pilihan, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan kemudian meneruskan rakaat kedua sehinggalah bacaan tahiyat akhir dan diakhiri dengan salam.

Jumlah rakaat boleh dilakukan sama ada 8 rakaat (4 salam) atau 20 rakaat (10 salam).


3. Bacaan Surah

3.1 Dari malam 1 hingga 15 Ramadhan:

Selepas membaca surah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat sembahyang sunat Tarawih ini, dibaca pula surah-surah yang tertentu.

Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca satu surah yang bermula dari surah al-Takathur hingga surah al- Masad. Susunan surah-surah adalah seperti berikut:
  1. Surah Al-Takathur
  2. Surah Al-Asr
  3. Surah Al-Humazah
  4. Surah Al-Fil
  5. Surah Quraisy
  6. Surah Al-Ma’un
  7. Surah Al-Kautsar
  8. Surah Al-Kafi run
  9. Surah An-Nasr
  10. Surah Al-Masad
Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca surah al-Ikhlas.

3.2 Dari malam 16 hingga akhir Ramadhan:

Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah al-Qadr.

Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadhan iaitu bermula dari surah al-Takathur hingga kepada surah al-Masad.


SELAWAT DAN WIRID ANTARA SOLAT

Bacaan selawat dan wirid ketika memulakan atau di antara solat sunat terawih tidaklah dimestikan jika tidak menghafalnya. Namun, adalah lebih baik jika dilakukan untuk menambah amalan ibadah kita. Sebagai panduan, berikut adalah bacaannya:









TATACARA SOLAT SUNAT WITIR

Setelah kita selesai mengerjakan solat sunat terawih diikuti pula dengan solat sunat witir.

Menurut kebiasaan umum, umat Islam di Malaysia menunaikan solat sunat Witir selepas solat sunat Terawih sebanyak tiga rakaat sahaja. Solat sunat Witir ini ditunaikan secara berjemaah ataupun bersendirian.

Berikut adalah cara mengerjakan solat sunat witir:-
  1. Lafaz niat solat sunat witir:- "Sahaja aku sembahyang sunat Witir 2 rakaat / 1 rakaat (makmum / mengikut imam) kerana Allah Taala".
  2. Dilakukan tiga rakaat dengan dua salam (2 rakaat + 1 rakaat).
  3. Pada malam ke-16 hingga akhir bulan Ramadhan disunatkan membaca qunut pada rakaat yang akhir. Lafaznya samalah dengan lafaz qunut sembahyang Subuh.
  4. Bacaan Surah: Selepas membaca surah al-Fatihah di dalam tiap-tiap rakaat sembahyang sunat Witir dibaca pula surah-surah berikut:
  • Rakaat pertama: Surah al-‘Ala
  • Rakaat kedua: Surah al-Kafirun
  • Rakaat ketiga: Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq, Surah al-Nas
PENUTUP

Demikianlah cara-cara yang ditunjukkan bagi memudahkan kita menunaikan solat sunat Terawih dan sunat Witir untuk mencari keberkatan, kurniaan dan keampunan Allah SWT pada malam-malam bulan Ramadhan yang mulia ini dan terpulanglah kepada masing-masing individu memilih dan mengikuti cara yang sesuai mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri. 

Penentuan sesuatu surah seperti yang disebutkan itu hanyalah untuk memudahkan kita mengingati bilangan rakyat sahaja dan kerana itu seseorang boleh membaca mana-mana surah atau ayat yang diingatnya. Begitu juga tentang peraturan berselawat antara rakaat-rakaat solat Terawih kerana tujuannya adalah untuk menambahkan lagi ibadat pada bulan yang mulia ini.  

Apa yang kita mahu ialah penyertaan yang seramai-ramainya dari segenap lapisan masyarakat Islam dalam menunaikan solat sunat Terawih dan Witir. Kita berharap mudah mudahan kedatangan bulan Ramadhan pada tahun ini akan lebih memberi manfaat dan faedah yang besar untuk kita semua. 

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.



Kredit: JAKIM
LihatTutupKomentar