-->

17 Jenis Kesilapan Yang Seringkali Dilakukan Dalam Bulan Ramadhan

Kesilapan Yang Seringkali Dilakukan Dalam Bulan Ramadhan

Pengertian Puasa & Puasa Ramadhan

Puasa secara bahasanya boleh diertikan sebagai "menahan diri". Dari segi istilah syarak, puasa bermaksud "menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari berserta niat.

Puasa Ramadan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadan. Hukum puasa Ramadan adalah wajib bagi umat Islam. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Hal ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni dalam diri pelakunya.

Firman Allah SWT:

“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. “ – (Surah al-Baqarah: 183)

Hadis Rasulullah SAW:

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi daripada Abu Hurairah, yang bermaksud:

" Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu, dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Kesilapan Kerap Dalam Bulan Ramadhan

Objektif atau sasaran utama yang ingin dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan terbahagi kepada dua iaitu taqwa dan keampunan.

Objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Walau bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini.

Antara kesilapan yang seringkali dilakukan pada bulan Ramadhan adalah seperti berikut:-
  1. Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).
  2. Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.
  3. Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.
  4. Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat.(tiada ke masjid tahun ni)
  5. Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.
  6. Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.
  7. Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. (tiada ke masjid tahun ni)
  8. Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian. (tiada ke masjid tahun ni)
  9. Berbuka dengan merokok atau selain makan minum.
  10. Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
  11. Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram
  12. Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.
  13. Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.
  14. Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur sehingga apabila terlambat bangun atau makan pada waktu itu dianggap telah batal puasa atau tidak boleh berpuasa.
  15. Hadir berjemaah Solat Terawih, tapi tidak berjemaah solat lima (5) waktu. (tiada ke masjid tahun ni)
  16. Tidur selepas sahur tanpa solat sunat dan tidak Subuh berjemaah. (tiada ke masjid tahun ni)
  17. Terlalu sibuk dengan persiapan raya, terutama pada sepuluh (10) hari terakhir dan mengabaikan peluang menggandakan ibadah khusus.
Ini adalah antara beberapa kesilapan kerap dilakukan umat Islam ketika menjalani ibadat puasa yang boleh merendahkan martabat Ramadhan.

Kesimpulan

Oleh itu, kita perlu menghindarkannya demi menjamin pahala berganda pada bulan ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa berpuasa pada Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan dosa lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ganjaran amat besar bagi orang yang berpuasa dengan penuh keinsafan, ketakwaan dan ikhlas bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

“Inilah bulan yang Allah fardukan puasa pada siang hari dan menjadikan solat Tarawih sebagai sunnah pada malam hari. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub) melalui amalan baik pada bulan itu, akan dibalas kepadanya ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardhu pada bulan lain.”

Selain, diberikan balasan pahala berlipat ganda, Allah SWT turut menjanjikan balasan syurga untuk mereka.

Rasulullah SAW bersabda, ”Sesiapa sempat bertemu bulan Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauhlah dia dengan Allah.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya!
LihatTutupKomentar