-->

Lelaki bantu mangsa kemalangan, maut dilanggar kenderaan lain

Seorang lelaki yang cuba membantu mangsa kemalangan, dilaporkan maut selepas dilanggar kenderaan lain dalam kejadian yang berlaku di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, terdahulu sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun terbabas, ketika dalam perjalanan dari Sungai Rengit ke Kota Tinggi.

Meninggal dunia di lokasi kejadian

Mangsa, Mohd Rafie, 35, yang memandu Toyota Hilux dari arah bertentangan memberhentikan kenderaannya untuk memberikan bantuan kepada pemandu Perodua Axia tersebut.

Namun, ketika dia sedang memberi bantuan, sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun bersama dua penumpang berumur 26 dan 27 tahun datang dari arah Sungai Rengit dan melanggar Mohd Rafie yang berada berhampiran dengan Perodua Axia.

Akibat dari kemalangan itu, Mohd Rafie mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah mangsa telah selamat diemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Raja, Pengerang, hari ini. Pemergian mangsa meninggalkan isteri dan tiga anaknya yang berusia setahun hingga enam tahun.

Arwah sempat nasihatkan pemandu Axia

Sementara itu, abang mangsa, Mohd Rais Sofian Bordie, 37, berkata ada saksi yang memaklumkan adiknya orang pertama yang membantu mengeluarkan pemandu Perodua Axia itu. Tetapi mereka kembali semula ke kereta kerana pemandu Perodua Axia berkenaan mahu mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal.

“Ketika pemandu masuk ke dalam kereta mencari telefon, adik berdiri di luar dan ketika itulah sebuah kenderaan lain melanggar adik.

“Sebelum itu, arwah dikatakan sempat menasihatkan pemandu Perodua Axia supaya tidak berlengah kerana kawasan itu bahaya,” katanya.

Sementara itu, pemandu dan penumpang Mitsubishi Triton turut mengalami kecederaan dan dirawat di hospital. Manakala pemandu Perodua Axia yang mengalami kecederaan ringan dirawat di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang.

Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Sumber: Harian Metro (Omar Ahmad)

The post Lelaki bantu mangsa kemalangan, maut dilanggar kenderaan lain appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar