-->

Faisal Halim disahkan melecur tahap 4

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan pemain skuad Harimau Malaya, Mohamad Faisal Abdul Halim disahkan mengalami kelecuran tahap empat selepas menjalani pembedahan pertama malam, semalam.

Beliau turut memaklumkan pergerakan dan percakapan Faisal Halim ketika ini sedikit terjejas berikutan insiden disimbah asid. Susulan itu juga, Faisal atau lebih dikenali dengan nama Mickey bakal menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan lagi selepas ini.

“Selepas pembedahan pertama, doktor pakar mengesan ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat.

“Berdasarkan penilaian, Faisal akan melalui sekurang-kurangnya lagi dua pembedahan yang akan ditentukan doktor.

“Sekarang beliau masih di ICU (Unit Rawatan Rapi), sedang dipantau dengan rapi oleh pakar.

“Apa yang saya boleh kata (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung dan mulut ada sikit.

“Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, kata Shahril Faisal akan berada di bawah pemantauan rapi di hospital sekurang-kurangnya selama 10 hari dan berkemungkinan menerima rawatan susulan di hospital selama dua hingga tiga minggu.

“Untuk proses pemulihan itu bergantung tetapi saya rasa beliau tidak dapat beraksi minimum lima atau enam bulan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

The post Faisal Halim disahkan melecur tahap 4 appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar