-->

Anggota MALBATT, Sarjan Faridah meninggal dunia di Lubnan

Seorang anggota Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, dilaporkan meninggal dunia, Sabtu lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM), Sarjan Faridah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.

Dalam kenyataan tersebut juga menyebut Allahyarhamah baru sahaja kembali ke Lubnan selepas selesai bercuti di Malaysia.

“Jenazah Allahyarhamah akan dihantar Ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Proses bedah siasat tersebut akan dilaksanakan pada 19 Mei 2024 (hari ini) jam 10.30 pagi waktu Lubnan atau jam 3.30 petang waktu Malaysia,” katanya.

Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai empat anak iaitu tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun.

Berkhidmat dalam ATM sejak 2007

Sarjan Faridah bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, mula berkhidmat dalam ATM sebagai anggota Tentera Darat sejak 2007 dan ditugaskan di Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

“Allahyarhamah sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.

“Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak MALBATT 850-11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah ke Malaysia dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Sumber: Bernama

The post Anggota MALBATT, Sarjan Faridah meninggal dunia di Lubnan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar