-->

Teresa Kok terima kertas ugutan bunuh beserta 2 peluru

Satu ugutan bunuh bersama dua peluru diterima oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang diletakkan di dalam peti surat di kediamannya.

Menerusi hantaran di media sosial, Naib Pengerusi DAP itu mempersoalkan tindakan yang dibuat pelaku.

“Semalam bila saya pulang ke kediaman rumah, saya mengambil surat di peti surat,dan saya dapati ada sampul surat mengandungi benda keras di dalamnya.

“Semasa membuka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya lihat ada dua peluru beserta satu kertas putih bersaiz A4 yang bertulis ugutan.

“Saya memang hairan dan tidak mengerti mengapa saya menerima ugutan peluru dan surat seperti ini?” katanya.

Susulan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Petaling.

“Polis juga datang ke bahagian peti surat di kondominium saya untuk menjalankan pemeriksaan.

“Saya berterima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas selepas saya buat laporan. Saya yakin pihak polis dapat membantu saya dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, satu kertas siasatan dibuka berhubung insiden berkenaan. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu jam 9 malam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama,” katanya.

Menurutnya, Polis Kuala Lumpur memandang serius ugutan itu namun siasatan masih di peringkat awal dan orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan.

Sumber: Teresa Kok, Harian Metro

The post Teresa Kok terima kertas ugutan bunuh beserta 2 peluru appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar