-->

‘Video jijik, tapi tak langgar undang-undang’ – Ahli Justice for Sisters kritik tindakan SKMM terhadap Aliff Syukri

Ahli persatuan Justice for Sisters, Thilaga, mengkritik tindakan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang dianggapnya tidak wajar bersikap seperti polis moral dalam isu membabitkan klip video yang dihasilkan oleh usahawan kosmetik, Aliff Syukri.

Menurut Thilaga, pihak berkuasa tidak sepatutnya mengambil tindakan terhadap Aliff hanya kerana majoriti kurang senang dengan klip video berkenaan.

“Kita tidak boleh menghukum disebabkan suara-suara majoriti yang tidak selesa sebaliknya kita perlu ada alasan yang kukuh terhadap isu yang dibawa olehnya,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Tambahnya, meskipun klip video tersebut mendatangkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat, namun pihak berkuasa tidak wajar mengambil tindakan selagi ia tidak melanggar undang-undang.

“Video tersebut sememangnya jijik dan menggelikan serta malu untuk ditonton tetapi masih tidak melanggar undang-undang.

“Saya rasa dalam situasi ni tindakan undang-undang atau siasatan daripada kerajaan mungkin tidak wajar dan tidak berpatutan selagi kandungan video tersebut tidak mendatangkan isu yang serius,” katanya.

SKMM semalam memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan Aliff untuk membantu siasatan berhubung tindakannya memuat naik video teaser lagu raya yang dianggap menjelikkan, selepas pihaknya mendapat aduan awam.

Pegawai penyiasat turut menyita satu kad sim dan telefon bimbit milik Aliff yang dipercayai telah digunakan untuk memuat naik video tersebut di media sosial.

The post ‘Video jijik, tapi tak langgar undang-undang’ – Ahli Justice for Sisters kritik tindakan SKMM terhadap Aliff Syukri appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar