-->

‘Selama 10 tahun berniaga, tahun ni paling teruk’ – Peniaga jalan TAR

Menjelang musim perayaan ini, sudah ramai antara kita yang sudah sibuk membeli kelengkapan raya. Ada yang sudah cukup semuanya kelengkapan, dan ada yang masih tercari-cari barangan yang sesuai.

Selain mencuci mata di kedai-kedai atau butik terkenal, ramai juga yang memilih untuk membeli secara dalam talian.

Namun begitu, menerusi beberapa laporan dikatakan peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) mengeluh apabila sambutan daripada pelanggan tidak memberangsangkan.

Kata peniaga baju Melayu yang sudah berniaga selama 10 tahun di Jalan TAR, tahun ini merupakan tahun yang paling teruk. Dia tidak menolak faktor ekonomi menjadi punca kepada situasi tersebut tambahan pula dengan harga barang keperluan semakin meningkat.

Faktor lain, banyak keperluan sekolah diutamakan

Selain itu katanya faktor kedua adalah penggal persekolahan baru dibuka jadi ibu bapa sudah banyak berbelanja untuk kelengkapan sekolah anak-anak.

“Mungkin ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah baru sahaja dapat menghela nafas panjang lega menyelesaikan tanggungjawab persekolahan anak mereka.

“Jadi mahu tidak mahu terpaksa sangat bersederhana untuk sambutan musim perayaan Aidilfitri kelak. Saya juga berpandangan cuaca panas pada masa ini menyebabkan lebih ramai mungkin memilih pasar raya yang sejuk dengan penyaman udara, berbanding membeli-belah di kawasan penjaja jalanan.

“Tahun lalu ok sikit berniaga, tahun ini memang betul-betul ‘down’ (menurun). Ketika pandemik COVID-19 memang tak dapat diambil kiralah memang teruk, tetapi selepas pandemik berakhir, masih tidak mencapai tahap prestasi perniagaan sebelum pandemik,” katanya.

Perkara tersebut turut diakui oleh seorang peniaga wanita yang menjual pakaian raya wanita dan kanak-kanak.

“Tahun ini meniaga tak berapa memberangsangkan. Ramai orang beli TikTok agaknya untuk berbelanja di dalam talian sebab cuaca panas masa ini.

“Kena pula masa anak-anak baru masuk penggal persekolahan baharu perlu beli peralatan, buku dan baju seragam baharu.

“Dulu sehari sehingga 80 pelanggan, kini sehari purata 35 orang pelanggan. Jauh bezanya, sebab itu bagi saya nak memastikan terjual, kita bukan sahaja jual di Jalan TAR, malah live di TikTok dan sambutannya ok lah juga,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Amir Abd Hamid)

The post ‘Selama 10 tahun berniaga, tahun ni paling teruk’ – Peniaga jalan TAR appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar