-->

‘Hati saya rasa terharu’ – Penduduk Cina repair jalan tikus untuk mudahkan orang Melayu balik ke KL

Lebuhraya utama negara kembali sesak seminggu selepas beraya, dengan warga kota yang pulang ke kampung kini kembali ke bandar.

Menurut tinjauan di media sosial, ramai pengguna jalan raya mengakui mereka tersangkut dalam kesesakan itu selama beberapa jam.

Dalam situasi seperti ini, pengguna terpaksa menggunakan aplikasi di telefon bimbit untuk mencari jalan alternatif. Salah seorang pengguna jalan raya, Zairul Annuar, berkongsi pengalaman uniknya semasa perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Menurut Zairul, sewaktu menghampiri daerah Ladang Bikam, aplikasi Google Maps memaklumkan ada kesesakan teruk di hadapan dan menawarkan jalan alternatif. Tanpa berfikir panjang, beliau terus bersetuju untuk menggunakan jalan tersebut yang membawa mereka ke sebuah kawasan perumahan kecil.

Penduduk tawar bantuan

Namun, perjalanan mereka terhenti apabila sampai di jalan tikus (jalan tidak bertar) dan masuk ke ladang kelapa sawit yang gelap. Beberapa kereta dari arah bertentangan memaklumkan jalan di hadapan tidak dapat digunakan dan mengarahkan mereka untuk berpatah balik.

Apabila mereka sampai semula ke kawasan perumahan tadi, mereka diberhentikan oleh sekumpulan penduduk berbangsa Cina yang menawarkan bantuan. Mereka telah berpakat untuk membantu melancarkan perjalanan kenderaan yang melewati kawasan perumahan mereka dengan membaikpulih laluan alternatif itu.

“Boss, you mau pergi KL kan? Jangan patah balik. Itu tadi depan you tak boleh jalan kan? Tak apa. Kita bawa backhoe kasi repair itu jalan. You tunggu sekejap.

“Kalau you patah balik pun tak ada guna, jalan Ladang Bikam sana jem banyak teruk sebab ada accident. Nanti you sudah keluar ini jalan, jangan ikut Ladang Bikam, you ikut jalan Bidor sampai KL” kata seorang lelaki Cina pertengahan umur.

Rasa terharu

Zairul mengakui beliau merasa terharu dengan tindakan penduduk tempatan tersebut yang menunjukkan sikap peduli dan mahu membantu melancarkan perjalanan orang-orang Melayu pulang dari kampung menuju ke Kuala Lumpur.

Beliau turut memuji penduduk Cina di Perak itu dan menganggap mereka sebagai contoh terbaik bangsa Malaysia.

“Hati saya rasa terharu. Penduduk cina di sini ada sikap peduli mahu membantu kelancaran perjalanan orang-orang melayu pulang dari kampung menuju ke Kuala Lumpur. Mereka keluar rumah sama-sama bergotong royong.

“Hebat orang-orang cina Perak. Power. Ini barulah bangsa Malaysia,” katanya.

Perjalanan sepanjang kelapa sawit tersebut adalah sejauh lebih kurang 3 kilometer. Zairul dan keluarganya bertolak dari Ipoh pada jam 7.30 malam dan selamat sampai di Nilai pada jam 2.00 pagi.

Situasi yang berlaku ini menunjukkan semangat perpaduan yang masih kukuh di kalangan rakyat Malaysia, yang sanggup membantu sesama sendiri dalam situasi sukar. Ini adalah cerminan sebenar masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.

The post ‘Hati saya rasa terharu’ – Penduduk Cina repair jalan tikus untuk mudahkan orang Melayu balik ke KL appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar