-->

KPDN sita produk ‘Salted Egg Salmon Skin’ guna logo halal tidak sah, Vida pula kata dia tak tahu apa-apa?

Sebuah premis di Kawasan Perindustrian Jelapang yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi produk makanan ringan telah diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak. Nilai sitaan yang diperoleh ketika operasi itu mencecah RM88,582.50.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan oleh pihaknya berhubung aktiviti memproses makanan di kawasan tersebut yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah.

Pengurus premis terbabit gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakuan oleh pihak berkuasa apabila diminta oleh pihak KPDN.

Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita kesemua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Sementara itu, usahawan Datuk Seri Vida atau nama sebenar, Hasmiza Othman, 53, berkata dia baru pulang dari luar negara dan tidak mengetahui tentang perkara itu.

“Buat masa sekarang, saya kena ambil tahu apa sebenarnya yang terjadi. Saya kena baca dulu apa laporan media berhubung dakwaan ini.

“Saya sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disoal siasat. Takkan saya nak lari pula,” katanya.

Sumber: Kosmo! Online

The post KPDN sita produk ‘Salted Egg Salmon Skin’ guna logo halal tidak sah, Vida pula kata dia tak tahu apa-apa? appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar