-->

Azhan Rani selar individu tonton drama Khunsa secara ‘haram’ di Telegram

Karya yang dihasilkan oleh penggiat seni seharusnya dipandang tinggi apatah lagi sekiranya karya berkenaan mampu mencuit hati penonton.

Oleh kerana itu juga, penonton seharusnya menghargai penat lelah, karya dan bakat penggiat seni di dalam  mahupun di belakang tabir. 

Bagaimanapun, ada sesetengah individu mengambil kesempatan mudah menciplak hasil karya penggiat seni. 

Perkara tersebut juga disuarakan oleh pelakon terkenal, Azhan Rani melalui satu hantaran di media sosial. Dia menyelar tindakan seorang individu yang secara terangan memberitahu kepada umum dia menonton drama Khunsa lakonan Azhan Rani menerusi aplikasi Telegram.

Bukan mudah untuk shooting drama Khunsa

“Kalau tengok kat Telegram tolonglah jangan bagitau kami. Siaran di Telegram ni cetak rompak, siaran tanpa izin. 

“Takde Astro, kalau langgan di sooka tv @sookamalaysia tanpa kontrak cuma RM15 saja untuk sebulan. Kalau nak stop anytime boleh stop. 

“Shooting kami untuk hasilkan khunsa tak mudah. Dari November tahun lepas sampai hari ini pun masih tak selesai lagi,” tulisnya.

Ujarnya, banyak cabaran yang dilalui  mereka sebagai pelakon dan krew produksi dalam menjayakan drama ni. Namun, segala penat lelah ditanggung seperti tidak berbaloi apabila ada yang mengambil tindakan sedemikian.

Usaha dan penat lelah tidak dihargai

“Macam-macam cabaran dan rintangan yang kalau diceritakan pun bukan orang nak kisah pun. Kalau rasa RM15 tu mahal tak perlu tengok pun tak mengapa. 

“Beritahu kami anda tonton di Telegram hanya melukakan hati dan perasaan kami. Usaha dan penat lelah kami sangat tak berbaloi.  Ya, anda tak rasa sebab bukan usaha dan kerja anda pun yang dirompak.

“Tapi jika ada kesedaran dan kemanusiaan cubalah fikirkan jika dibalikkan pada diri sendiri suatu hari nanti. Maaf saya tegur,” katanya.

The post Azhan Rani selar individu tonton drama Khunsa secara ‘haram’ di Telegram appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar