-->

‘Terima kasih akak polis’ – Tindakan anggota polis wanita bersihkan anak tahanan dipuji ramai

Satu gambar tular memaparkan seorang anggota polis wanita sedang membersihkan badan seorang kanak-kanak lelaki. Menerusi hantaran yang dikongsikan melalui Facebook Friends of PDRM itu tindakan anggota polis yang berpangkat Lans Koperal mendapat pujian ramai.

Dalam satu laporan pula, Lans Koperal Siti Sarah Ariffin, berkata dia berasa kasihan dengan keadaan kanak-kanak tersebut dalam keadaan tidak terurus. Kanak-kanak berkenaan dikatakan dibawa oleh seorang lelaki kerana ibunya telah ditahan di Cheras atas kesalahan jenayah komersial. Ibu kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Penjara Bentong.

Ketika kejadian, dia sedang bertugas dan lelaki tersebut yang merupakan kenalan kepada ibu kanak-kanak itu datang untuk menyerahkan kanak-kanak itu kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Masalah autisme dan pertuturan

Siti Sarah juga menyatakan kanak-kanak itu mengalami masalah autisme dan tidak dapat bertutur.

“Saya kesian bila lihat keadaannya dan bayangkan anak-anak sendiri di rumah, dengan pampers pun tidak ditukar beberapa hari. Selain bersihkannya, saya juga suapkan makanan dan minuman.

“Saya tidak sedar masa membersihkan kanak-kanak itu, gambar dirakam dan kemudiannya tular di Facebook pada Selasa,” katanya.

Dalam pada itu dia turut berkongsikan, kanak-kanak itu telah dibawa pulang lelaki terbabit untuk diserahkan kepada JKM. Dia turut menghubungi lelaki berkenaan setiap hari bertanyakan keadaan kanak-kanak terbabit.

“Rasa risau sangat dan hanya lega bila dimaklumkan kanak-kanak itu sudah diserahkan kepada JKM,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian, Friend of PDRM

The post ‘Terima kasih akak polis’ – Tindakan anggota polis wanita bersihkan anak tahanan dipuji ramai appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar