-->

Lelaki mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap dua beradik dikurung dalam bilik hotel

Isnin, 1 Januari lalu, dua beradik berusia 15 dan 16 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah tanpa memaklumkan kepada ibu bapa.

Kehilangan Wan Azfar Fitri Wan Azhar dan adiknya, Wan Azfar Zikri disedari oleh ibu bapa mereka pada jam 6.30 pagi, apabila mendapati dua beradik itu tiada di rumah sebelum membuat laporan polis pada pagi Selasa.

Dikurung dalam bilik hotel

Pada malam 11 Januari, Wan Azfar Fitri berjaya melarikan diri dan ditemui dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni.

Mangsa mendakwa dia dan adiknya dikurung di sebuah hotel oleh individu tidak dikenali. Namun, mereka kemudian dipisahkan pada 9 Januari. Tidak beberapa lama selepas itu, Wan Azfar Zikri juga dilaporkan telah ditemui selamat pada Khamis lalu.

Remaja berusia 16 tahun berkenaan tampil membuat laporan polis pada jam 2.48 pagi, 12 Januari yang mendakwa telah dicabul dan diliwat oleh lelaki terbabit.

Bertindak di atas maklumat itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 42 tahun. Suspek direman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Tiada kecederan, tiada kesan liwat

Siasatan lanjut mendapati, kes kehilangan dua beradik berkenaan bukan kes culik sepertimana yang dilaporkan oleh media.

Keputusan pemeriksaan doktor terhadap dua beradik itu tidak menemui sebarang kesan kecederaan fizikal, malah tiada kejadian liwat berlaku.

Semalam, suspek yang bekerja sebagai tukang urut itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun.

Tertuduh, Hamid Khan Samoon, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa bagi tujuan seksual di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan, jam 8 Malam, 1 hingga 10 Januari 2024.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar kadar jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung kakaknya yang bergantung kepadanya sejak kematian anaknya.

“Tolonglah Yang Arif, kakak saya perlukan saya sangat-sangat. Anaknya sudah meninggal dunia dan hanya ada saya,” katanya.

Hakim Mohd Kafli membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin. Malah tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Sumber: Sinar Harian, mStar Online, Malaysia Gazette

The post Lelaki mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap dua beradik dikurung dalam bilik hotel appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar