-->

Zara kesal gambar kempen pengiklanannya buat orang ramai keliru sehingga timbul gesaan boikot

Jenama fesyen, Zara, meluahkan rasa kesal dengan kekeliruan yang berlaku terhadap kempen pengiklanannya yang menampilkan patung manekin tanpa anggota badan, dibalut dengan kain putih yang menimbulkan gesaan boikot daripada aktivis pro-Palestin.

Dalam kenyataan menerusi akaun rasmi Instagramnya, Zara menjelaskan ramai yang salah faham dengan gambar tersebut sehingga menyimpang jauh daripada maksudnya ingin disampaikan.

“Malangnya, ada sesetengah pelanggan yang merasa tersinggung dengan gambar-gambar ini, yang kini telah dikeluarkan. Zara menyesal dengan kekeliruan yang berlaku.” katanya.

Jelas Zara, gambar kempen pengiklanan itu dibuat pada September dan dilancarkan 7 Disember lalu, hasil inspirasi daripada jahitan tukang jahit lelaki pada abad lalu.

Terdahulu, ramai pengguna media sosial mengecam jenama Zara disebabkan gambar tersebut. Dalam masa yang sama, tanda pagar (hashtag) #BoycottZara juga trending di platform X.

Netizen mendakwa, gambar pengiklanan Zara menyerupai gambar mayat penduduk Palestin yang maut akibat dibunuh oleh tentera Israel. Dan tindakan Zara memuat naik gambar-gambar itu seolah-olah menyindir isu Palestin.

Selain itu, beberapa bongkah menyerupai serpihan bangunan pecah dianggap seperti menggambarkan bangunan kediaman penduduk Palestin yang musnah akibat dibom Israel. Termasuk salah satu serpihan yang sangat jelas menyerupai peta Palestin.

Sumber: Instagram Zara

The post Zara kesal gambar kempen pengiklanannya buat orang ramai keliru sehingga timbul gesaan boikot appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar