-->

Remaja 13 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba merompak pemandu e-hailing

Remaja lelaki berusia 13 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas pertuduhan cuba merompak pemandu e-hailing pada 28 November 2023.

Tertuduh, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, semalam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa, Lee Ang Hie, pada jam 6 petang di Jalan Taman keladi, Sungai Petani, Kedah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

17 Januari 2024 ditetapkan untuk sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahan dokumen. Selain itu, mahkamah turut membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Duratul Ain Mahmud Morshidi.

Terdahulu, tular video tertuduh cuba menikam dada warga emas berkenaan yang disyaki cuba menyamun mangsa. Namun, pemandu e-hailing itu sempat menahan dan menggigit tangannya dan merampas pisau tertuduh.

Panik tindakan mangsa, tertuduh terus membuka pintu dan melarikan diri sebelum ditahan pada jam 8 malam, pada hari yang sama.

Sumber: Buletin TV3

The post Remaja 13 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba merompak pemandu e-hailing appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar