-->

‘Kawalan ketat untuk jaga keamanan’ – Polis nafi beri layanan double standard kepada tertuduh kes bunuh pelajar tingkatan 5

Beberapa agensi media semalam mendakwa pihak polis memberi layanan ‘double standard’ terhadap pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di Ipoh.

Kehadiran tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, turut dikawal dengan ketat berbanding kebiasaan kes lain di bawah Seksyen 302, menyebabkan pihak media tidak dapat membuat liputan seperti biasa.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tidak wujud layanan double standard seperti yang didakwa. Sebaliknya, kawalan ketat yang dilakukan adalah bagi menjaga keamanan dan ketenteraman di kawasan mahkamah.

“Seperti mana yang Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kata telus, maka kita telah melaksanakan proses pendakwaan ke atas tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kawalan yang dijalankan di mahkamah pagi tadi (18 Disember 2023) adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman di kawasan mahkamah, jadi tidak ada istilah double standard.

“Prosedur itu prosedur biasa untuk kes-kes pesalah biasa dan ia bukan kes berprofil tinggi,” katanya memetik laporan dari Malaysia Gazette.

Semalam, tertuduh berpangkat Deputi Superintendan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah tidak membuat sebarang pengakuan dan hanya sekadar mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati pada waktu tengah hari, 15 Disember lalu.

Sumber: Harian Metro, Malaysia Gazette

The post ‘Kawalan ketat untuk jaga keamanan’ – Polis nafi beri layanan double standard kepada tertuduh kes bunuh pelajar tingkatan 5 appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar