-->

Indonesia cadang Pulau Galang jadi tempat pelindungan untuk pelarian Rohingya, dibantah oleh rakyat

Sejak pertengahan November 2023, sejumlah besar pelarian Rohingya dilaporkan mendarat di pantai Wilayah Aceh, Indonesia.

Wakil Presiden Republik Indonesia, Ma’ruf Amin mencadangkan agar Pulau Galang yang terletak di Kota Batam, Riau dijadikan sebagai lokasi penempatan pelarian Rohingya atas alasan kemanusiaan.

“Penempatannya di mana? Dulu kita ada Pulau Galang, nanti kita bincangkan lagi sama ada jadi atau tidak,” katanya pada Selasa, 5 Disember lalu.

Difahamkan kedatangan pelarian Rohingya ini mengundang kebimbangan masyarakat Aceh yang enggan menerima mereka disebabkan pengalaman lalu menunjukkan pelarian itu bersikap pengotor, tiada adab dan tidak menghormati budaya tempatan.

Namun Ma’ruf menjelaskan bahawa, masalah kedatangan pelarian Rohingya adalah masalah kemanusiaan yang sepatutnya ditangani bersama.

Kerajaan Indonesia juga dilaporkan akan mengadakan perbincangan dengan PBB untuk menyelesaikan masalah pelarian UNHCR.

Sementara itu, cadangan Ma’ruf itu tidak dipersetujui oleh Menteri Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Mahfud MD.

Menurut Mahfud, sebarang keputusan yang dibuat perlu dipertimbangkan secara menyeluruh agar tidak mengundang ketidakpuasan hati rakyat dan juga akan menyebabkan semua pelarian Rohingya lari ke Indonesia.

Mahfud turut menegaskan beliau akan memastikan Pulau Galang tidak akan menjadi ‘penempatan baharu’ untuk pelarian berkenaan. – Agensi

The post Indonesia cadang Pulau Galang jadi tempat pelindungan untuk pelarian Rohingya, dibantah oleh rakyat appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar