-->

DSP Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, tiada pengakuan direkodkan

Seorang pegawai kanan polis didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S. Punitha, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pegawai Kanan berpangkat Deputi Superintendan (DSP) itu didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pada waktu tengah hari 15 Disember, berdekatan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Jati.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 17 Februari 2024 untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataannya semalam memaklumkan, Mohd Nazri akan dikenaan tindakan tahan kerja sebaik saja pertuduhan dibacakan hari ini.

“Apa yang jadi ini diharap menjadi pengajaran buat semua warga polis agar tidak mengambil kesempatan di sebalik lencana yang dipakai mereka sehingga boleh mencemarkan nama baik pasukan,” katanya.

Sumber: Bernama, Kosmo! Online

The post DSP Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, tiada pengakuan direkodkan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar