-->

Tuan Ibrahim cadang kerajaan beri sokongan lelaki berpoligami bagi mengatasi masalah ‘bujang senja’

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim dalam perbahasannya di Dewan Rakyat melahirkan rasa bimbang dengan peningkatan golongan yang belum berkahwin atau dikatakan sebagai ‘bujang senja’ di negara ini.

Justeru itu beliau beliau mencadangkan kepada pihak kerajaan agar dapat memberi sokongan moral kepada golongan lelaki untuk berpoligami bagi menyelesaikan masalah wanita yang lewat berkahwin.

Katanya, amalan itu boleh menjadi ‘jalan keluar’ kepada jutaan wanita yang belum berkahwin walaupun selepas umur 30 tahun.

Hujahnya, laporan bancian penduduk Malaysia pada 2010 menunjukkan bahawa 5.56 juta rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke atas membuat keputusan sama ada untuk berkahwin lewat, belum berkahwin, atau langsung tidak mahu berkahwin.

Faktor kewangan alasan utama

Daripada jumlah itu, katanya, 4.8 juta adalah wanita. Alasan utama yang disebut di sebalik keputusan itu ialah masalah kewangan (56 peratus), tiada calon yang sesuai (18.4 peratus), dan kerjaya (9.4 peratus).

“Saya ingin ambil perhatian bila negara kita ini sensitif soal poligami. Bila (kita) sebut poligami macam buat jenayah.

“Saya fikir kementerian (pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat) perlu rasional dalam isu ini. Di mana bagi mereka yang mampu, ada kelayakan (dan) boleh adil, satu sokongan moral perlu diberi,” katanya.

Bagaimanapun, semasa sesi tersebut berlaku sedikit kekecohan apabila Yeo Bee Yin (PH-Puchong) bangkit dan meminta Tuan Ibrahim menarik balik cadangan itu.

Bersifat seksis

Bee Yin mendakwa syor berkenaan bersifat seksis dan menyinggung perasaan golongan isteri kerana ia seolah-olah memberi galakan kepada suami untuk berpoligami.

Tuan Ibrahim bagaimanapun menafikannya dan enggan menarik balik kenyataan terbabit.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri hanya menjawab ringkas mengenai saranan terbabit.

“Yang disarankan untuk poligami saya agak kurang setuju untuk masa ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

The post Tuan Ibrahim cadang kerajaan beri sokongan lelaki berpoligami bagi mengatasi masalah ‘bujang senja’ appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar