-->

‘Orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu malas’ – Peniaga kain diselar netizen

Pada zaman serba canggih ini, ramai peniaga yang mengambil peluang untuk meningkatkan lagi keuntungan mereka melalui media sosial. Namun, adakalanya strategi yang digunakan mengundang padah apabila mereka dikecam kerana keceluparan mulut yang tidak terkawal.

Baru-baru ini seorang peniaga dengan sewenang-wenangnya mengatakan Orang Melayu malas berbanding dirinya yang merupakan orang Kemboja yang lebih rajin, semasa membalas pertanyaan netizen di media sosial mengenai asal usulnya.

“Yalah memang saya orang Kemboja. Apa kena mengena kalau kita orang Kemboja dengan orang Malaysia? Apa beza?

“I memang orang Kemboja, I dilahirkan di Kemboja tapi I dibesarkan di Malaysia. So ada apa-apa.. kalau orang Kemboja memang pandai meniaga kan, betul tak?

“Dan orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu malas. Aa, gitu,” katanya dalam video yang kini tersebar meluas di semua platform media sosial.

Kata-kata wanita berkenaan mengundang kecaman netizen yang mendakwa dia sebagai tidak sedar diri mencari rezeki di negara ini.

“Dekat Kemboja tak ada kismis minda ke kak? Kesianlah saya tengok minda akak tak berfungsi dengan baik,” kata DA.

“Pandai berniaga tetapi tak pandai menjaga mulut. Tak kisahlah dia dari mana pun, kaya mana pun nak buat content untuk motivate orang lain, tapi jagalah pertuturan. Tak perlu menjerit-jerit kononnya dialah yang terpaling… angkuh! Bila dah angkuh, bangsa dia sendiri pun tak suka,’ kata Joker.

‘Saya maafkan netizen yang komen negatif’

Menyedarinya dirinya dikecam teruk oleh netizen, wanita terbabit tampil memohon maaf dan memaafkan netizen yang mengecamnya.

“Dengan rendah hati saya minta maaf atas kekhilafan saya bercakap. Dan kalau you rasa itu adalah penghinaan, saya minta maaf sekali lagi banyak-banyak.

“Dan saya pun maafkan you all semua atas apa yang you all masuk dalam live saya dan komen Kemboja babi, Kemboja bangsat, boikot. Saya maafkan semua orang sebab saya nak menjadi orang yang berlapang dada.

“Saya tak pernah koyak, saya akan koyak bila Allah tak pandang saya dan Allah tak reda pada saya. Ingat tu sahabat. Terima kasih yang mana dah support saya dan jangan menghina pekerja saya yang tak ada salah apa-apa.

“Saya maafkan you orang-orang yang menghina saya, saya minta maaf atas kekhilafan saya. Dan sesungguhnya, Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Dan kita sebagai hamba Allah, jadilah yang maha pengasih, maha penyayang, maha pengampun dan maha memaafkan.

“Sesungguhnya Allah tutup aib-aib kita semua. Tapi kalau Allah buka aib-aib kita, kita malu. Saya tak mampu untuk puaskan hati semua orang, saya cuma bagitahu saya minta maaf atas ketelanjuran kata-kata saya,” katanya.

Ancam keselamatan, laporan polis telah dibuat terhadap peniaga berkenaan

Meskipun permohonan maaf telah dibuat, komuniti masyarakat Melayu Champa di Johor Bahru tampil membuat laporan polis terhadap wanita berkenaan yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman terhadap masyarakat Melayu.

Wakil Persatuan Melayu Champa Ulu Tiram, Mohamad Nasir Razali, 34, menegaskan bahawa kenyataan wanita itu tidak mewakili pandangan komuniti itu. Pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap wanita terbabit yang dilihat boleh menimbulkan ketegangan dan mengancam keselamatan komunitinya.

Semakan mendapati, peniaga yang sama sebelum ini pernah tular di TikTok kerana kelantangannya memberi teguran kepada kakitangannya. Malah, pernah diselar oleh seorang selebriti wanita yang mendakwa dia ditengking oleh peniaga terbabit secara semberono.

Sumber: X, Kosmo! Online

The post ‘Orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu malas’ – Peniaga kain diselar netizen appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar