-->

Lelaki Nepal cuba larikan kanak-kanak berusia 3 tahun kerana tertekan & lapar, berjaya ditahan

Cubaan seorang lelaki warga Nepal melarikan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Pekan Jeniang, Gurun jam 7.10 pagi Ahad, gagal apabila suspek ditahan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan kedai roti canai.

Mangsa terdahulu mengikut bapanya datang ke kedai itu dengan menaiki motosikal yang kemudian diletakkan di tepi jalan. Mangsa ditinggalkan bersendirian di motosikal, sementara bapanya masuk untuk mengambil tempahan roti canai.

Di kesempatan itu, suspek berusia 26 tahun itu terus meluru dan mengambil mangsa sebelum mengacukan pisau pada leher kanak-kanak itu. Suspek kemudian bercakap dalam bahasa yang tidak difahami, yang dipercayai cuba meminta wang untuk makan daripada bapa mangsa.

Dalam keadaan panik, bapa mangsa cuba memujuk suspek menyerahkan anaknya. Situasi cemas itu berlaku dalam masa tiga minit sebelum suspek berjaya ditangkap oleh orang awam ketika dia sedang leka.

Siasatan lanjut mendapati, suspek masuk ke Malaysia sejak sebulan lalu untuk bekerja di kilang di Sungai Lalang. Namun, suspek dikatakan tertekan dengan kerjanya telah melarikan diri dan polis turut menerima laporan daripada majikannya pada 8 November lalu.

Semasa disoal siasat, suspek mengaku bertindak demikian kerana tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan lapar kerana sudah beberapa hari tidak makan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sumber: Harian Metro

The post Lelaki Nepal cuba larikan kanak-kanak berusia 3 tahun kerana tertekan & lapar, berjaya ditahan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar