-->

Isu tular influencer tenggelamkan pemenang-pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) lain

Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) merupakan platform bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan pencapaian belia Malaysia yang memberikan impak signifikan kepada pembangunan negara. APBN pada tahun ini mempertandingkan empat (4) kategori anugerah utama, dua (2) kategori anugerah khas dan lima (5) kategori ikon belia dianugerahkan.

Namun begitu, baru-baru ini tular isu luahan seorang pempengaruh mengenai APBN pada kali ini sehingga menenggelamkan pemenang-pemenang APBN dari pengetahuan umum.

Calon yang menang banyak memberi inspirasi

Berikut merupakan antara beberapa pemenang yang telah memberikan jasa dan sumbangan kepada masyarakat:

Ikon Belia OKU diberikan kepada Mohd Faiz bin Shuhaimi yang merupakan seorang pemimpin belia dan aktivis muda OKU yang aktif memperkasakan kelompok Belia Minoriti dan Belia Orang Kurang Upaya. Beliau juga adalah pengasas dan Presiden bagi Majlis Belia Orang Kurang Upaya Malaysia.

Muhammad Al Ahnaf bin Mohd Roslan pula adalah ikon Youth-Biz yang terpilih. Berusia 22 tahun dan merupakan usahawan yang memiliki Ahnaflan Enterprise. Dalam usia yang muda, beliau telah membuka sebuah ladang sayuran seluas 1 ekar dengan modal permulaan sebanyak RM700. Kini, beliau giat menyumbang kepakaran dan kemahiran dalam sesi perkongsian ilmu pertanian bagi menarik minat belia menceburi bidang pertanian moden selari dengan teknologi semasa.

Anugerah Khas Inspirasi pula diberikan kepada Puan Intan Zulaikha Binti Jusoh. Puan Intan merupakan seorang guru kepada Muhammad Aqil Naufal di mana video dari Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSD Jerantut 2023 menjadi tular.

Video itu bukan sahaja menyaksikan kesungguhan saudara Aqil untuk terus berjuang dalam lariannya sehingga ke penamat, tetapi juga semangat Cikgu Intan dalam mendorong Aqil sambil berlari di sebelahnya menjadi inspirasi kepada kita semua. Disebabkan itu, hidup adik Aqil juga berubah apabila video itu mendapat perhatian dan diberikan kaki palsu untuk membantu pergerakkannya.

Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa kemenangan yang patut menjadi miliknya pada Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 digugurkan pada saat akhir.

Susulan itu tersebut mula tular, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli mengadakan pertemuan dengan pempengaruh tersebut bagi menjelaskan situasi sebenar.

Sumber: Ezal, Portal Rasmi KBS, Adam Adli

The post Isu tular influencer tenggelamkan pemenang-pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) lain appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar