-->

‘Inilah Melayu, bila nampak Mat Saleh bukan main lagi mengelenyat nak layan’ – Lelaki kesal dengan layanan kakitangan Sky Bridge, Menara Kembar Petronas

Kecewa dengan layanan diberi oleh kakitangan Sky Bridge di Menara Kembar Petronas, mendorong seorang lelaki memuat naik luahan ketidakpuasan hatinya di Facebook semalam.

Berdasarkan hantaran itu, Shamsuddin Nawawi dan anaknya datang ke lokasi berkenaan pada jam 2 petang Jumaat, 3 November 2023 untuk menaiki Sky Bridge.

Kenyit mata suruh couple Mat Salleh ke depan

Ketika menunggu, Shamsuddin mendakwa seorang kakitangan lelaki datang menghampiri pasangan pelancong warga asing (Mat Salleh) dan meminta beralih ke depan agar mereka dapat menaiki Sky Bridge lebih awal.

“Lebih kurang jam 3 petang, datanglah pegawai Melayu itu ke kerusi bulat sebelah bertanya kepada couple Mat Saleh tiket naik pukul berapa. Mat Saleh itu jawab pukul 4.15 petang.

“Pegawai itu kenyit mata dan beri isyarat meminta couple Mat Saleh itu ke depan supaya boleh naik awal,” katanya.

Tindakan kakitangan berkenaan membuatkan Shamsuddin hairan. Sedangkan dia dan anaknya sudah menunggu lebih awal, tetapi tidak diberikan layanan seperti itu.

Ada hak nak dahulukan sesiapa yang difikirkan perlu

Apabila ditanya, kakitangan berkenaan berkata mereka mempunyai kuasa untuk mendahulukan sesiapa sahaja yang mereka fikirkan perlu.

“Wah.. Mat Saleh itu baru sampai. Badan segar bugar bertatu, pasangannya pula tak nampak cacat pun. Saya ini dengan rakyat yang pegang MyKid tak pula dilayan begitu.

“Bila hati sudah panas, suara pun tinggi sikit. Pegawai pakai tali leher Petronas itu cuba bagi alasan, ‘Give me a minute to explain, saya akan panggil encik juga selepas ini’.

“Lepas ini? Selepas Mat Saleh dah dilayan penuh keistimewaan? ‘Encik, saya bukan rasis‘ katanya. You admit you are racist! Kalau saya nampak Mat Saleh itu naik dulu dari saya, you will see my posting in Facebook! Itu amaran saya.

“Pegawai yang seorang lagi itu bila ditanya masa dia lekatkan sticker ke baju saya, dia boleh jawab, ‘Up to you lah encik. Report lah kepada management, janganlah masuk Facebook. Profesional lah sikit‘.

“Inilah Melayu, bila nampak Mat Saleh bukan main lagi. Mengelenyat nak layan. Melayu ang patuh mengikut giliran ini boleh letak tepi,” katanya.

Di atas cabaran itu, Shamsuddin nekad berkongsi di Facebooknya mengenai insiden berkenaan.

Pihak Pengurusan mohon maaf, akan siasat

Sementara itu, pihak Pengurusan Operasi Lawatan Menara Berkembar Petronas mengambil maklum mengenai insiden tersebut dan memohon maaf kepada pengadu.

“Kami ingin memohon maaf di atas insiden yang telah berlaku.

“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera,” kata kenyataan itu yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya pada Sabtu, 4 November 2023.

Dalam pada itu, pihaknya juga memberi jaminan perkara sedemikian tidak akan berulang di masa hadapan.

Sumber: Shamsuddin, Petronas Twin Towers

The post ‘Inilah Melayu, bila nampak Mat Saleh bukan main lagi mengelenyat nak layan’ – Lelaki kesal dengan layanan kakitangan Sky Bridge, Menara Kembar Petronas appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar