-->

‘Bapa jenis apa rogol anak 105 kali?!’ – Rayuan gagal, hukuman penjara 42 tahun, 24 sebatan yang dikenakan terhadap lelaki rogol anak tiri, dikekalkan

Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Klang yang menjatuhkan hukuman penjara 42 tahun dan 24 sebatan terhadap seorang lelaki berusia 36 tahun yang didapati bersalah atas pertuduhan merogol anak tiri perempuan sebanyak 105 kali dalam tempoh dua tahun.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas diteliti oleh tiga panel hakim yang diketuainya, menolak rayuan akhir perayu yang memohon hukuman dikurangkan.

“Bapa jenis apa yang merogol anak 105 kali? Satu kali pun kita tidak boleh maafkan. Ini pula 100 kali.

“Ini adalah keputusan sebulat suara, rayuan perayu (tertuduh) (kurangkan hukuman) ditolak. Hukuman 42 tahun dan 24 sebatan dikekalkan,” tegas Datuk Hadhariah.

Sebelum itu, peguam KA Ramu memohon mahkamah mempertimbangkan rayuan tersebut kerana anak guamnya yang telah menjalani hukuman di Penjara Kajang yang banyak memberi pengajaran membuatkan perayu ingin kembali semula ke masyarakat.

Tetapi Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Mohd Akhir memohon mahkamah mengekalkan hukuman berkenaan.

Mengikut fakta kes, perayu merogol mangsa ketika isterinya keluar bekerja. Mangsa telah dirogol oleh perayu sejak Januari 2018 dan hanya bertindak melarikan diri pada Februari 2020.

Dalam perbicaraan awal di Mahkamah Sesyen Klang 2021, perayu dijatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun dan 24 sebatan. Namun, Mahkamah Tinggi Klang mengenepikan keputusan itu dan menetapkan hukuman penjara selama 42 tahun dan 24 sebatan. Ini kerana hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dianggap bersifat mengikut perasaan dan berlebihan.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Bapa jenis apa rogol anak 105 kali?!’ – Rayuan gagal, hukuman penjara 42 tahun, 24 sebatan yang dikenakan terhadap lelaki rogol anak tiri, dikekalkan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar