-->

‘Tidak boleh seseorang muslim itu menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh institusi berasaskan riba’ – Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Tular baru-baru ini ada dakwaan yang mengatakan sebuah acara maraton dianjurkan oleh sebuah syarikat yang berasaskan riba. Isu ini mengundang spekulasi dan persoalan ramai mengenai penyertaan peserta maraton yang terdiri daripada individu yang beragama Islam yang menyertainya.

Menjawab spekulasi dan persoalan tersebut,bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata seseorang Muslim tidak
boleh menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh institusi berasaskan riba kerana ianya merupakan wasilah kepada perkara yang jelas pengharamannya, iaitu riba.

“Berdasarkan pemerhatian kami, laman rasmi acara maraton ini secara jelas telah menyebutkan setiap institusi dan syarikat yang turut serta bekerjasama dan menyumbang bagi menjayakan acara larian jarak jauh ini. Pada baju yang dijual bersempena dengan larian itu dan juga baju yang diberikan secara percuma kepada mereka yang menamatkan larian sejauh 42.195 KM juga turut dicetak bersama beberapa logo.

“Sekiranya dia (peserta) mengetahui tentang pihak yang menaja acara tersebut menjalankan jual beli yang diharamkan oleh syara‘, tetapi masih degil dan enggan menjauhkan diri daripada mempromosikan syarikat tersebut, maka dia telah melakukan perkara yang haram dan berdosa.

“Akan tetapi, sekiranya dia tidak cakna tentang senarai penaja atau tidak tahu bahawa syarikat itu menjalankan jual beli berunsurkan riba, maka kami berharap mereka ini diberikan keampunan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada pihak penganjuran supaya peka dan cakna dengan sensitiviti umat islam sebelum menganjurkan apa-apa program.

“Kami mengesyorkan agar pihak yang terbabit dalam penganjuran, perlulah cakna dan prihatin akan sensitiviti umat Islam sekiranya ingin menganjurkan sebarang program.

“Pastikan penganjuran tersebut selamat daripada unsur membawa kepada tipu daya, riba dan sebagainya,” katanya.

Sumber: Datuk Seri Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri

The post ‘Tidak boleh seseorang muslim itu menyertai acara maraton yang dianjurkan oleh institusi berasaskan riba’ – Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar