-->

Selebriti Malaysia terima amaran sekatan di IG kerana kongsi posting pro Palestin, tetapi Meta nafi berbuat demikian

Sejak beberapa hari lalu, beberapa selebriti tampil mendedahkan akaun media sosial milik mereka dikenakan sekatan atau digantung hanya kerana berkongsi hantaran berkaitan dengan konflik Palestin – Israel.

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Instastory memaklumkan beberapa perkongsiannya yang dimuat naik sebelum ini telah disekat.

“Posting saya mengenai Palestin di IG feed sudah mula kena block. Tak mengapa, usaha diteruskan,” katanya.

Pelakon Amyra Rosli, juga menerima tindakan yang sama apabila pihak Meta (pemilik Facebook, Instagram, WhatsApp) bertindak memadamkan hantarannya atas alasan berlaku pelanggaran Garis Panduan Komuniti.

“Bunuh orang tak takut, kena kecam kat media sosial takut. Koyak la tu,” kata Amyra Rosli.

Begitu juga dengan Ashraf Muslim, turut menerima nasib yang sama. Namun, tindakan tidak berasas Meta itu sudah dijangka kerana perkara yang sama pernah berlaku dalam kes sebelum ini.

“Pagi-pagi dah buat lagi perangai dah. Diorang (Meta) buang post aku. Dah agak dah. Tak boleh langsung nak post pasal Palestin kan? Aku takkan putus asa untuk solidariti terhadap Palestin,” katanya.

Meta nafi sekat kandungan pro Palestin

Bagaimanapun dalam e-mel kpada perikatan pemeriksa Fakta Malaysia JomCheck, Meta menafikan dakwaan bahawa pihaknya menyekat kandungan yang menyokong Palesin. Sebaliknya, polisi yang direka adalah untuk memastikan keselamatan penggunanya.

Jurucakap Meta turut merujuk kepada kenyataan awal pihaknya pada 13 Oktober lalu yang menyatakan, pihaknya sedang mengambil langkah untuk ‘menangani kandungan berbahaya dan berpotensi berbahaya di platformnya, berkaitan dengan perang.

Malah menegas, kandungan yang mengandungi pujian untuk kumpulan Hamas juga tidak akan dibenarkan. Ini kerana Hamas telah ditetapkan oleh Meta sebagai ‘organisasi berbahaya’.

Selain itu, kandungan berunsurkan ganas dan grafik melampau juga tidak dibenarkan disiarkan di semua platform Meta. Dasar di atas dilaksanakan secara sama rata di seluruh dunia.

Dalam kenyataan sebelum itu, Meta juga merujuk kepada insiden 7 Oktober sebagai ‘serangan pengganas Hamas’ dan serangan Israel ke atas Gaza sebagai tindak balas.

Sumber: Astro Awani, Amyra Rosli, Ashraf Muslim, MalaysiaKini

The post Selebriti Malaysia terima amaran sekatan di IG kerana kongsi posting pro Palestin, tetapi Meta nafi berbuat demikian appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar