-->

‘Saya tak nak komen’ – To’ki enggan ulas dakwaan tak bayar sewa, bil elektrik rumah sewa

Selepas beberapa hari netizen berteka-teki, akhirnya penyanyi To’ki tampil menjelaskan bahawa dia masih duduk di rumah sewa milik Liza Mohamad.

Bagaimanapun, To’ki atau nama sebenar Mohd Zaki Mansur, 58, enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dan kini hanya menunggu pihak Baitulmal mencarikan rumah sewa baharu untuk dia dan keluarga.

“Saya tak nak komen buat masa ini. Ya, saya masih duduk di sini (rumah sewa milik Liza). Saya masih menunggu makluman terbaru daripada pihak Baitulmal sebab mereka akan carikan rumah sewa baharu untuk saya,” katanya.

Terdahulu, Liza mendakwa To’ki tidak membayar sewa rumah sejak Jun sehingga September lalu berjumlah RM3,600 (RM900 sebulan). Notis meminta To’ki keluar daripada kediaman itu juga telah diberi, namun tidak diendahkan.

Bil elektrik juga mempunyai tunggakan hampir mencecah RM7,000. Usaha Liza untuk mengajak berbincang secara baik tidak berjaya sehingga terpaksa meminta media menyiarkan masalah tersebut.

Perkara itu kemudian mendapat perhatian daripada pihak Baitulmal yang meminta Liza memberi kebenaran kepada To’ki untuk duduk di rumah sewanya sehingga 31 Oktober ini. Dalam masa sama, Baitulmal akan mencarikan rumah sewa baharu untuk penyanyi berkenaan.

Difahamkan, tunggakan sewa dan bil elektrik juga telah diselesaikan oleh pihak Baitulmal.

Sumber: Harian Metro

The post ‘Saya tak nak komen’ – To’ki enggan ulas dakwaan tak bayar sewa, bil elektrik rumah sewa appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar