-->

Razan Ashraf Abdul Qadir Al-Najjar, gadis paramedik Palestin yang gugur syahid diingati sehingga kini

Seperti yang diketahui umum, ketika ini pihak pejuang Hamas berjuang untuk mendapatkan keadilan buat Palestin. Namun, disebalik kisah pejuang-pejuang Hamas, ada nama seorang gadis yang sehingga kini masih meniti di bibir masyarakat dunia.

Walaupun sudah meninggal dunia pada 2018, namanya masih segar dalam ingatan. Razan Ashraf Abdul Qadir Al-Najjar, gadis berjiwa besar yang pernah mencetuskan kemarahan dunia dan pejuang Palestin pada 1 Jun 2018.

Kisah ini diceritakan kembali oleh seorang wanita yang mahu mengingatkan kita perjuangan gadis kecil ini.

“Di saat ramai pemudi sebayanya yang menyibukkan diri dengan dunia, Razan telah menabur khidmat bakti sebagai seorang sukarelawan paramedik di Hospital Nasser, Khan Younis.

Razan Al-Najjar membesar di dalam kancah peperangan iaitu peperangan yang berlaku pada tahun 2008-2009, operasi pertahan pada tahun 2012 dan seterusnya pada tahun 2014, iaitu ketika peperangan tujuh minggu di antara Israel dan Gaza.

“Kesan peperangan pada tahun 2014, kawasan kejiranan rumahnya hancur teruk. Namun, tentunya hal itu tidak mematahkan semangat Razan Al-Najjar untuk berjuang demi bangsanya.

“Seperti kebanyakan rakyat Palestin yang lain, Razan tidak mempunyai kemampuan untuk menyambung pelajarannya. Lalu, dia mengambil kursus kaligrafi dan seterusnya latihan kejururawatan yang akhirnya membolehkan dia menjadi sukarelawan paramedik,” tulisnya.

Semasa berlaku protes di sempadan antara Gaza dan Israel pada 01 Jun 2018, ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan, ramai yang tercedera akibat pertembungan tentera Zionis. Diceritakan, Razan bersama-sama pasukannya membantu mangsa yang tercedera.

“Ibunya berkata yang anaknya akan keluar rumah jam 7 pagi dan hanya pulang jam 8 malam. Saat sampai di rumah, tubuh anaknya akan penuh dengan tompokan dan percikan darah mangsa yang ditolong sehinggakan saat sebelum kematiannya, Razan Al-Najjar menjadi seorang ikon dalam kalangan penduduk Tebing Gaza sendiri.

“Banyak media yang memaparkan gambarnya sedang bertugas di laman atas talian. Betapa Razan ini benar-benar ikhlas berbakti untuk bangsa dan negaranya, Palestin,” katanya.

Razan sudah mengetahui dirinya menjadi sasaran

Beberapa bulan sebelum kejadian, dikatakan Razan sudah dapat mengagak Zionis telah menyasarkan dirinya dan perkara tersebut diceritakannya kepada Al-Jazeera bahawa tentera itu telah menembak ke arahnya beberapa kali serta melarangnya memberikan bantuan kepada mangsa yang tercedera.

“Namun, Razan tak pernah takut dan gentar dengan si zionis laknatullah. Bahkan, jiwanya semakin membara dan bersemangat untuk membantu bangsanya sendiri. Hinggalah ke tarikh keramat 1 Jun 2018, di mana akhirnya Razan Al-Najjar telah dijemput pulang ke rahmat Allah.

“Ya, Razan akhirnya syahid pada 1 Jun 2018 setelah ditembak dengan kejam oleh si zionis. Kejadian ini berlaku pada Jumaat ketiga di bulan Ramadhan, di mana 3,000 rakyat Palestin sedang melawan penjajahan zionis,” tulisnya.

Sepatutnya paramedik ‘tidak boleh disentuh’

Ketika kejadian, Razan memakai pakaian lengkap seorang paramedik dan bergegas menyelamatkan seorang lelaki yang diserang dengan gas pemedih mata.

“Jarak mereka dengan sempadan Israel lebih kurang 20 meter. Ada yang mengatakan jarak mereka sejauh 100 meter. Tiba-tiba, tiga das tembakan kedengaran. Tiga das tembakan! Tiga ya, bukan satu! Maka, syahidlah seorang gadis muda yang baru sahaja berusia 20 tahun.

“Ya, 20 tahun! Seorang sukarelawan paramedik yang sepatutnya tidak boleh diapa-apakan. Tetapi, si zionis laknatullah membuktikan merekalah bangsa paling kejam sekali di atas muka bumi ini,” katanya lagi.

Memanipulasi fakta

Namun begitu, pihak tentera tersebut memanipulasikan fakta dan cuba membela diri.

“Si tentera zionis telah cuba membela diri dengan mengatakan mereka tidak pernah menyasarkan Razan Al-Najjar. Kemudian, timbul pula kononnya sebuah video yang mengatakan Razan adalah perisai manusia pihak Hamas.

“Padahal, setelah disiasat, video itu adalah suntingan pihak zionis daripada sebuah temu bual Razan dengan satu rangkaian televisyen Lubnan.

“I’m here on the line being a protective human shield saving the injured.”

“Tapi apa yang si zionis zalim ini buat? Memutar belit cerita! Begitulah kisah seorang syahida yang telah kembali ke rahmat Ilahi lima tahun lalu,” tulisnya.

Sumber:Aisyah Shahid

The post Razan Ashraf Abdul Qadir Al-Najjar, gadis paramedik Palestin yang gugur syahid diingati sehingga kini appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar