-->

‘Perli GV10 memang ada dalam skrip’ – Janna Nick enggan ambil pusing komen negatif, akui tiada masalah peribadi dengan hos GV10

Baru sahaja beberapa minggu bersiaran, bermacam-macam drama dilihat dalam kedua-dua program terbitan TV3 dan juga Astro. Bukan sahaja kerenah peserta, malah hos pada acara berkenaan juga menjadi tumpuan ramai.

Minggu lalu, pengacara Famili Duo musim ketiga (FD3), Janna Nick kedengaran seolah memerli rancangan All Stars Gegar Vaganza (GV10) yang turut bersiaran sama seperti program FD3. Janna, dalam satu kenyataan mengaku dia sememangnya memerli program GV10.

Bagaimanapun, Janna berkata, dia tidak mempunyai masalah peribadi dengan semua pengacara GV10, baik Nabil Ahmad dan Jihan Muse, begitu juga bekas hos, Elly Mazlein. Sebaliknya, apa yang dilakukan adalah sekadar melontar balik sindiran yang dibuat oleh pihak sana.

“Benda (perli) itu ada memang dalam skrip, jadi apabila berbicara secara spontan atau kasual saya hanya tambah perasa.

“Saya dapat tahu daripada sebelum FD3 bersiaran pun program sebelah sana pun rancak perli rancangan kami, jadi saya pun balas balik.

“Secara peribadi, saya tiada isu dengan mana-mana pihak dalam industri tetapi pandangan orang luar mungkin rasa sangat sensitif,” katanya.

Dalam pada itu, aktres merangkap produser itu enggan ambil pusing komen negatif, sebaliknya hanya menumpukan perhatian melunaskan tugasan sebagai hos.

“Janna Nick memang ramai ‘haters’. Boleh jadi mereka terlampau obses untuk mencari benda negatif mengenai saya.

“Lebih baik saya ambil yang positif, terima dengan hati terbuka bagi setiap teguran selagi nasihat tersebut membina.

“Kalau mengarut saya akan pekakkan telinga. Cuma, teguran yang masuk ke hati saya adalah daripada penerbit sahaja,” katanya.

Sumber: Kosmo Online

The post ‘Perli GV10 memang ada dalam skrip’ – Janna Nick enggan ambil pusing komen negatif, akui tiada masalah peribadi dengan hos GV10 appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar