-->

Penunggang motosikal maut dirempuh kereta Proton Satria yang dipandu remaja berusia 14 tahun

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Kedah, pada petang semalam yang menyebabkan seorang wanita maut, manakala kakaknya mengalami kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Nur Syafiqah Abdullah, 32, maut di lokasi kejadian. Manakala kakaknya, Nooraliza, 43, yang membonceng motosikal, cedera di bahagian dada, pinggang dan kaki kiri.

Siasatan mendapat kemalangan itu berlaku kira-kira jam 7.05 petang yang membabitkan sebuah kereta Proton Satria dan sebuah motosikal.

Difahamkan, cuaca pada ketika itu hujan dan jalan basah. Dua beradik berkenaan terdahulu dari persimpangan lampu isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah.

Kereta yang dipandu remaja itu pula dari arah bertentangan dan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki jalan bertentangan dan merempuh motosikal yang dinaiki dua beradik terbabit.

Remaja itu hanya mengalami luka di bahagian hidung. Pemeriksaan lanjut mendapati remaja terbabit sudah tidak bersekolah dan tidak mempunyai lesen memandu.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untk dibedah siasat. Kakaknya juga dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Astro Awani

The post Penunggang motosikal maut dirempuh kereta Proton Satria yang dipandu remaja berusia 14 tahun appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar