-->

Meraba punggung pelanggan di kedai makan, lelaki Nepal dipenjara 5 tahun, 2 sebatan

Seorang lelaki warga Nepal dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka, semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan meraba punggung pelanggan di sebuah gerai makanan.

Tertuduh, Manday Ajay Kumar, 26, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut dua pertuduhan tersebut, tertuduh melakukan amang seksual fizikal dengan memegang punggung mangsa berusia 15 tahun dalam kejadian di sebuah gerai minuman di Chinatown Food Court, Ujong Pasir, 12 tengah hari 20 dan 24 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makan merayu supaya dikenakan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung ibu bapa dan tiga adiknya yang masih bersekolah di kampung halaman.

Tertuduh turut meminta hukuman dijalankan secara serentak daripada tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 Mei lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan bagi setiap pertuduhan, serta memerintah hukuman dijalankan secara serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap.

Sumber: Kosmo! Online

The post Meraba punggung pelanggan di kedai makan, lelaki Nepal dipenjara 5 tahun, 2 sebatan appeared first on The Reporter.


LihatTutupKomentar